Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya. foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) untuk tahun taksiran 2019 dan 2020 bagi pembayar cukai kategori syarikat, koperasi, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan petroleum adalah kekal seperti yang termaktub dalam Program Memfail Borang Nyata Tahun 2020 (Pindaan 3/2020).

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berkata, Program Memfail Borang Nyata Tahun 2020 (Pindaan 3/2020) tersebut telah dikemaskini pada 28 April 2020 dengan turut mengambil kira kesan penularan wabak Covid-19 terhadap operasi perniagaan pembayar cukai dan semua penyedia perkhidmatan percukaian profesional (Ejen Cukai), yang mana tambahan masa untuk mengemukaan BNCP selama dua dan tiga bulan telah diberikan secara automatik kepada kategori pembayar cukai yang layak.

Program Memfail Borang Nyata Tahun 2020 (Pindaan 3/2020) tersebut boleh diakses dan dimuat turun dari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my atau melalui pautan pantas berikut:
http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_1.pdf

LHDNM berkata, sungguhpun begitu, bagi pembayar cukai yang tidak dapat mengemukakan BNCP dalam tempoh yang telah ditetapkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (TEMCO), permohonan lanjutan masa tambahan boleh dikemukakan kepada LHDNM.

Permohonan tersebut hendaklah dibuat secara bertulis dan dialamatkan terus kepada cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka. Setiap permohonan yang diterima akan diteliti berdasarkan merit kes dan keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada LHDNM melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/ – MalaysiaGazette