Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membatalkan acara sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan esok, bagi menjaga kemaslahatan rakyat dan membendung penularan pandemik Covid-19.

Namun, bagi meneruskan usaha menyantuni masyarakat dalam memperingati detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad serta menghayati sirah dan sunahnya, JAKIM menzahirkan penghayatan itu dengan inisiatif norma baharu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, inisiatif itu lebih lebih santai yang diadakan menerusi program Semarak Cinta Rasul dan disiarkan secara langsung di TV1 jam 9 malam ini.

Kata beliau, dalam program itu juga diisi dengan bacaan al-Quran oleh johan Qari Tilawah dan Hafazan peringkat antarabangsa, Ahmad Tirmizi Ali.

Selain itu, ada tayangan video khas Ibrah bertajuk, “Muhammad”, acara Tausiyah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Bual Bicara yang membariskan ahli panel, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh (USIM) dan Syed Norhisham Tuan Padang (Pendakwah).

Program juga diteruskan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Hijjaz dan Daqmie serta pengumuman penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul dan doa khas bagi memohon keselamatan serta keamanan Malaysia dari pandemik Covid-19.

Menurut Abdul Aziz lagi, beberapa program sampingan turut diadakan, antaranya rancangan musical talkshow “Kasih Junjungan” yang disiarkan menerusi TV1 pada jam 10.30 malam 29 Oktober.

“Diikuti Forum Perdana Ehwal Islam Khas dengan tema “Ummah Rabbani Negara Harmoni” jam 9 malam. Moderatornya, Nabil Ahmad, manakala panelnya, Mohd Asyraf Mohd Ridzuan, Isfadiah Mohd Dasuki dan Elyas Ismail.

“Rancangan Kapsul Maulidur Rasul SAW juga menampilkan enam personaliti dakwah yang akan membicarakan mengenai topik Kelahiran Rasul SAW, Sifat Mulia Rasul SAW, Cinta Rasul, Sunnah Rasul dalam kehidupan dan Hadith Nabi SAW.

“Kapsul akan disiarkan menerusi saluran 101 TV1 pada 29 Oktober, 30 Oktober, 31 Oktober, 1 November, 2 November dan 3 November,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata beliau lagi, acara seterusnya yang disusunkan dalam inisiatif norma baharu ialah pertandingan video kreatif yang diadakan dengan kerjasama strategik Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), berunsurkan nilai murni dan Rasulullah SAW sebagai suri teladan.

Turut diadakan ialah Kempen Malaysia Berselawat di Media Sosial yang memberi peluang kepada netizen menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad dengan merakam selawat dan memuatnaik di media sosial, dengan hashtag #SemarakCintaRasul.

Selain itu, katanya, JAKIM turut menganjurkan program Penerbitan Buletin Khas sempena Maulidur Rasul untuk edaran di masjid sekitar Wilayah Persekutuan dan boleh dimuat turun melalui portal jabatan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast