KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) merakamkan takziah dan simpati atas insiden kapal penyelenggaraan pelantar Dayang Topaz yang merempuh pelantar minyak Baram B awal pagi semalam.
Insiden yang berlaku dalam cuaca buruk di lokasi kira-kira 7.7 batu nautika dari Kuala Baram Miri itu menyebabkan dua daripada 185 anak kapal dan petugas pelantar Dayang Topaz, maut.
Ketua Pemuda DPPM, Ir. Khairil Nizam Khirudin dalam ucapan takziahnya berkata, insiden itu sangat terkesan pada dirinya kerana kapal penyelenggaraan pelantar Dayang Topaz dan Kompleks Pelantar Minyak Baram adalah antara tempat yang pernah beliau bertugas suatu ketika dahulu.
Katanya, insiden itu diklasifikasikan pada Tier 2 (Level 2) yang memerlukan sokongan di peringkat Persekutuan dan negeri untuk kerja pencarian dan menyelamat (SAR).
“Kerja ini melibatkan koordinasi oleh Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim serta agensi berkenaan dengan bantuan sokongan dari semua pihak dan aset marin syarikat minyak dan gas yang berada berdekatan lokasi kejadian.
“Pelan tindakan ini berasaskan kepentingan mengikut turutan, di mana menyelamatkan nyawa menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, media melaporkan insiden kapal platform MV Dayang Topaz, yang merempuh pelantar minyak di perairan Kuala Baram Miri, kira-kira 800 kilometer dari Kuching, selepas ekor taufan Molave membadai kawasan itu pada petang Selasa.
Seramai 187 kru berada dalam kapal malang itu apabila satu dari kabel kapal itu putus menyebabkan kapal hilang kawalan akibat dipukul ombak Laut China Selatan dan berlanggar dengan struktur pelantar penggerudian berhampiran.
Menurut Khairil Nizam, bidang pekerjaan di sektor huluan minyak dan gas sangat berisiko tinggi dan terdedah kepada risiko bahaya hidrokarbon, selain faktor cuaca yang mempengaruhi aktiviti pekerjaan logistik dan sokongan kepada pelantar minyak.
Jelas beliau, lapangan minyak khususnya di perairan Sabah dan Sarawak agak terdedah pada perubahan cuaca mendadak disebabkan titik tekanan rendah yang berubah-ubah ketika peralihan monsun, di samping terkena kesan dari laluan taufan di Utara Sabah pada ketika ini.
“Selain kepakaran dan amalan cara kerja yang selamat dengan tahap keselamatan yang tinggi untuk petugas pelantar, pengalaman juga memainkan peranan penting untuk memastikan kerja-kerja dapat dilaksanakan dalam menghadapi risiko berkenaan.
“Tenaga kerja di sektor huluan minyak dan gas yang rata-ratanya adalah orang Melayu dan Bumiputera wajar mendapat pengiktirafan dari rakyat Malaysia atas jasa mereka menjaga perbendaharaan negara dan menyumbang antara yang terbesar kepada KDNK negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















