Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardernbersama-sama menyertai majlis memperingati serangan ke atas jemaah dua masjid di Christchurch. foto AGensi

TRAGEDI kematian seorang guru Perancis bernama Samuel Pati pada 16 Oktober 2020 oleh imigran Rusia berbangsa Chechen, Abdoullakh Abouyedovich Anzorov, merupakan satu lagi kitaran Islamofobia di dunia barat. Insiden berdarah yang mengakibatkan kematian Anzorov tidak boleh menjadi justifikasi nyawa dibalas nyawa. Reaksi berantai ini wajib diputuskan. Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam komentar spontannya menyebut insiden tersebut sebagai ‘serangan tipikal teroris Islamis’,  menggambarkan beliau juga terperangkap dengan pandangan stereotaip terhadap warga minoriti muslim Perancis yang hanya 7% daripada keseluruhan populasi Perancis. Malah, respon beliau menyebabkan ledakan kemarahan negara-negara Islam termasuk kempen boikot produk Perancis yang digerakkan oleh Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan.

Globalisasi dan pelarian perang memberi efek kepada penghijrahan imigran muslim ke negara-negara Barat. Ada yang sudah menetap lebih daripada satu generasi dan apabila ditanya
apakah identiti mereka, jawapannya juga sangat rencam; warganegara, negara asal, bangsa dan agama. Yang pasti golongan imigran ini perlu berasimilasi dengan warga tempatan. Kerajaan pula berperanan penting menggubal undang-undang dan mencorak tatakelola kehidupan agar hubungan silang-warga harmoni dan damai.

Kebebasan Bersuara

Atas nama kebebasan bersuara dan berekspresi, insiden ini adalah rentetan karikatur sensitif Nabi Muhammad s.a.w yang diterbitkan oleh majalah Charlie Hebdo yang pernah mengundang
sasaran teroris pada tahun 2011 dan 2015. Slogan ‘Je Suis Charlie’ (I am Charlie) dipromosikan pada 2015 sebagai sokongan kepada kebebasan bersuara dan berekspresi. 12 orang mati
dalam serangan tersebut. Ironi, tidakkah Macron belajar dari tragedi tersebut? Salah tanggap pada konsep kebebasan bersuara tanpa rasa bertanggungjawab ini akan menyebabkan kitaran
kebencian ini tidak akan berhenti.

Sebagai salah sebuah kuasa besar dunia, Presiden Macron dengan kebebasan politiknya, punya peranan amat besar dengan menghentikan ucapan retorik yang menambah cuka pada luka
besar umat Islam. Presiden Macron dan mana-mana pemimpin negara layak menerima pujian sekiranya nilai ini diangkat dengan memberi ruang suara yang luas kepada warga minoriti dan
bukan hanya pada warga majoriti. Jika kebebasan bersuara majoriti menimbulkan kemarahan minoriti, reaksi balas dituduh pula sebagai satu aksi teroris.

Kebaikan

Kita imbau insiden berdarah tembakan di dua buah masjid Christchurch, New Zealand pada 15 Mac 2019 yang membunuh 51 jiwa. Bagaimana Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern
memberi respons kepada insiden tersebut? Beliau sama sekali tidak menyebut nama pembunuh tersebut. Beliau memberikan jaminan keselamatan kepada warga imigran muslim yang sebahagiannya telah menetap bergenerasi di New Zealand. Coretan beliau ketika momen awal keadaan getir tersebut merekodkan, “I just remember feeling this overwhelming sense of, here are people who’ve made New Zealand their home. Regardless of whether someone had been in New Zealand for a generation or whether or not they moved here a year ago, this was their home, and they should have been safe and they should have been able to worship here, and that was when I wrote down those words: they are us.”

Beliau juga memilih untuk melawat keluarga mangsa tembakan di masjid dengan penampilan berselendang. Ardern membuktikan kebaikan adalah kekuatan, sifat penyayang (compassionate)
bukan satu titik kelemahan pemimpin dan keterangkuman agama dan bangsa boleh direalisasikan. Jika api yang marak disimbah minyak, akan terus marak membakar. Merosak dan membinasa.
Kebencian tidak boleh dihentikan dengan kemarahan. Laksana api lawannya air. Kedamaian dan persefahaman adalah jawapan kepada Islamofobia dan salah faham nilai kebebasan bersuara.
Misi Rahmah buat Semua Nabi Muhammad S.A.W merupakan suri teladan dalam menyebarkan rahmah buat seluruh alam.

Ini adalah pengajaran besar yang telah baginda tinggalkan dalam sejarah kemanusiaan dan peradaban bangsa. Dalam kisah delegasi Kristian dari Najran ke Madinah bertemu baginda
Rasulullah s.a.w, baginda memerintahkan pemimpin kanan dan pengiringnya meninggalkan baginda dan hanya empat orang ahli keluarga terdekat hadir dalam pertemuan tersebut. Hanya
anaknya Fatimah dan suami Ali serta anak-anak mereka Hassan dan Hussein. Tanpa sebarang kata-kata, baginda menanggalkan jubahnya tanda merendah diri di hadapan delegasi Najran.
Kerendahan jiwa mengagumkan aliansi politik dan merupakan esen utama baginda dalam misi rahmatan lil alamin (rahmah buat seluruh alam).

Agama dan politik harus berhenti menggunakan kebencian sebagai penyelesaian. Mana-mana negara berdaulat hari ini tidak boleh menafikan kewujudan bersama pelbagai bangsa dan agama
dalam satu negara. Budaya saling menghormati, saling  emahami dan saling mengasihani sesama warga atas nilai kemanusiaan adalah perjuangan panjang yang akan terus mengangkat
kita semua sebagai satu tamadun yang gemilang. Begitulah sewajarnya Macron belajar daripada Ardern.

Anfaal Saari
Pengerusi Biro Antarabangsa AWAN Nasional
Naib Ketua 1
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional