Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Sekali lagi kes baharu positif Covid-19 direkodkan mengatasi kes sembuh hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes baharu hari ini mencatatkan 799 kes.

“Sabah mencatatkan sebanyak 466 kes (58.3 peratus) dan negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 170 kes (21.3 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

“Keempat-empat negeri ini telah menyumbang sebanyak 636 kes (79.6 peratus) daripada jumlah harian kes positif Covid-19 secara keseluruhan. Kesemua negeri-negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” jelas Noor Hisham dalam sidang medianya hari ini.

Daripada jumlah itu, menurutnya, sebanyak 90 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 20 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, sebanyak 491 kes telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 kini dicatatkan pada paras 20,248 kes.

Kadar kematian ekoran positif Covid-19 juga mencatatkan tiga kes hari ini dimana kesemua kes kematian itu berlaku di Sabah.

Kematian kali ini melibatkan dua lelaki dan seorang wanita seterusnya menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19  setakat ini sebanyak 249 kes.

Noor Hisham juga berkata, terdapat lapan kluster baharu dikesan dengan tiga di Sabah, masing-masing satu di Kuala Selangor, Labuan, Negeri Sembilan dan Johor.

“Kluster Rumah Merah melibatkan sebuah Pusat Tahanan Sementara (PTS) di daerah Kota Kinabalu di negeri Sabah.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-29,774) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 28 Oktober lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 56
lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes menerima rawatan di Blok Isolasi Pusat Tahanan Sementara Menggatal,” katanya lagi.

Kluster itu melibatkan 57 kes positif Covid-19 dengan 56 kes baharu dikesan hari ini dan kluster lain adalah Kluster Telipok melibatkan daerah Kota Kinabalu yang menjangkiti 10 individu hari ini.

Kluster Sembulan pula direkodkan juga di Sabah dengan 12 kes dikesan positif Covid-19 dan 4 kes baharu hari ini.

Kluster Merpati berlaku di Sepang, Gombak dan Kuala Langat di Selangor dengan melibatkan 45 kes dikesan positif Covid-19 hari ini.

Di Labuan, Kluster Titian direkodkan dengan melibatkan 11 kes dikesan baharu.

Sementara di Negeri Sembilan, Kluster Gala pula melibatkan lapan kes dikesan positif Covid-19 dengan 2 kes baharu.

Kluster Meldrum di Johor Bahru direkodkan melibatkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Tangkak di Johor.

Kluster itu menjangkiti enam individu dengan lima kes baharu hari ini. – MalaysiaGazette