Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ruang untuk pelonggaran seterusnya dasar monetari kekal terbuka pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bakal diadakan pada 3 Nov depan, demikian menurut Ambank Research.

Ketua pakar Ekonomi Dr Anthony Dass berkata, penurunan 25 mata asas (bps) pada mesyuarat dengan jumlah setinggi 50 mata asas daripada kadar dasar semalaman (OPR) semasa 1.75 peratus adalah baik untuk pemulihan ekonomi.

Beliau berkata, berikutan penurunan 25 mata asas kepada 1.75 peratus pada Julai, BNM terus mengekalkan kadar dasar itu semasa mesyuarat MPC bulan September memandangkan aktiviti ekonomi terus pulih daripada tekanan pada April, disokong oleh pakej fiskal dan langkah-langkah monetari dan kewangan.

“Persoalannya sekarang sama ada Bank Negara Malaysia  (BNM) akan mengekalkan atau mengurangkan OPR pada bulan November ini.

“Walaupun terdapat beberapa tanda awal penstabilan daripada sektor pembuatan, langkah-langkah pencegahan penularan virus akan memberi kesan kepada perkhidmatan,” katanya dalam satu nota hari ini.

Dass berkata, terdapat beberapa isu serius dalam beberapa bidang seperti pasaran pekerjaan, pengurangan pendapatan, impak selepas moratorium, muflis, pinjaman tidak berbayar, cabaran luaran dan bukan ekonomi domestik.

“Johor yang menguasai 9.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) nasional dan 10.8 peratus daripada penubuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara, masih terjejas teruk berikutan penutupan sempadan Singapura,” kata beliau.

Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 Nov memainkan peranan penting, kata Dass.

“Dengan pemulihan yang tidak sekata di keseluruhan sektor, peruntukan belanjawan dijangka besar.

“Defisit mungkin dalam sekitar 5.5 peratus dan 6.0 peratus daripada KDNK, yang bertujuan untuk terus menyokong pemulihan ekonomi daripada impak buruk yang dicetuskan oleh pandemik,” kata beliau.

Justeru, dasar monetari juga perlu memainkan peranan penting,” kata beliau. – MalaysiaGazette