Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan di Sabah telah menahan dua anggota polis kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM5,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua individu kerana memiliki barangan terlarang.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang masing-masing berpangkat sarjan dan koperal itu ditahan pukul 9.50 malam tadi dalam satu operasi di sekitar Sandakan.

Jelas sumber, dalam kejadian pada 26 Oktober lalu, kedua-dua suspek dipercayai telah meminta rasuah sebanyak RM5,000 daripada dua individu terbabit supaya mereka tidak dikenakan tindakan atas kesalahan bersubahat memiliki barangan terlarang tersebut.

Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette