KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyarankan pihak yang terlibat dalam pembentukan insentif menilai semula aspek yang perlu diberi lebih tumpuan dalam rantaian nilai proses pembangunan atau pengeluaran produk serta perkhidmatan oleh enterpris.

Penilaian ini perlu untuk perancangan yang lebih strategik dan cekap dalam proses pemberian insentif secara bersasar kepada enterpris di sektor yang terlibat bagi jangka panjang memandangkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM305 billion bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Haji Abu Seman berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan melalui khidmat rundingan yang disediakan bagi menjayakan amalan baik pengurusan insentif.

C

Ia turut mengambil kira amalan baik dari segi perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan (4P) pengurusan insentif.

“Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi situasi ekonomi yang mencabar akibat wabak Covid-19 walaupun kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan penyediaan pakej rancangan ekonomi dalam bentuk fiskal dan bukan fiskal.

Oleh itu, amat penting untuk pihak yang terlibat untuk mengambil langkah bijak dengan menyediakan perancangan insentif secara bersasar.

”Insentif yang bersasar seperti ini akan dapat memberikan impak kepada enterpris dari segi kurang kebergantungan kepada kerajaan dan turut membantu meningkatkan keuntungan. Perancangan secara bersasar ini juga dapat menyediakan peluang pekerjaan. Di masa jangka panjang pula negara akan menjadi lebih produktif dan berdaya saing,” katanya.

Tambah beliau lagi, insentif yang disediakan oleh kerajaan telah dirancang baik dengan melihat kepada keperluan rantaian nilai untuk disampaikan kepada golongan sasar.

“Dari pemerhatian MPC, semua agensi kerajaan telah merancang bagi pembentukan insentif dan pengagihan insentif kepada syarikat enterpris yang berkelayakan semasa pandemik Covid-19.

“Namun pada masa yang sama, kami percaya terdapat pelbagai cabaran dalaman yang perlu dihadapi oleh agensi bagi memenuhi kehendak golongan sasar.

”Oleh yang demikian, MPC menyeru lebih ramai lagi pihak yang terlibat dalam pembentukan insentif untuk melihat kepada masalah di sepanjang rantaian nilai dan menyelesaikan masalah terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette