KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Alor Setar akan ditamatkan mulai jam 12.01 tengah malam ini.
Ini kerana, hasil saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh tujuh hari sejak 26 Oktover lalu, mendapati tiada lagi kes positif direkodkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berikutan itu, kerajaan atas nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju menamatkan pelaksanaan PKPD.
Jelas beliau, PKPD Penjara Alor Setar dikuatkuasakan selama dua fasa iaitu fasa pertama selama 14 hari dari 5 Oktober hingga 18 Oktober dan disambung fasa kedua selama dua minggu lagi dari 19 Oktober hingga hari ini, 1 November 2020.

“Oleh kerana saringan dilakukan KKM menunjukkan tidak ada lagi kes positif Covid-19 di kalangan tahanan dan kakitangan penjara, maka kerajaan bersetuju menamatkan PKPD mulai esok, 2 November 2020,” katanya pada sidang media khas Covid-19, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sidang khas MKN sebelum ini mendengar permohonan dan cadangan daripada MKN Sabah mengenai keperluan untuk melaksanakan PKPD di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu.
Katanya, sehingga 30 Oktober lalu, daripada 261 tahanan termasuk kakitangan disaring, seramai 56 tahanan didapati positif Covid-19.
“Bagi menyekat Covid-19 menular di kalangan tahanan dan kakitangan penjara, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu mulai 3 hingga 16 November ini.
“Kita ada ruang dua hari untuk membuat persediaan di lokaliti berkenaan, yang melibatkan seramai 1,820 tahanan dan 114 kakitangan pusat tahanan itu.
“Seperti biasa, SOPnya sama dengan setiap PKPD melibatkan penjara, iaitu keluarga tahanan dan kakitangan penjara tidak boleh keluar masuk, begitu juga banduan tidak boleh keluar dari bilik tahanan, kecuali yang terlibat di bahagian dapur dibenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















