Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara mengambil tindakan tegas dengan menarik balik lesen pusat hiburan yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PBT lebih arif dengan pusat hiburan kerana mereka yang meluluskan lesen aktiviti itu.

“Kita minta PBT bertindak tegas kerana setiap hari Ops Pematuhan dijalan polis, tangkapan paling banyak melibatkan individu di pusat hiburan.

“Sedangkan aktiviti itu masih tidak dibenarkan beroperasi sejak PKP dikuatkuasakan Mac lalu sehingga sekarang, tetapi orang ramai tidak serik dan sering mengunjunginya.

“Oleh itu, selain polis, kita minta PBT menarik balik lesen mana-mana pusat hiburan yang melanggar undang-undang ini,” katanya pada sidang media khas mengenai Covid-19, hari ini.

Menurut beliau, semalam sahaja, seramai 485 individu ditahan kerana ingkar arahan PKPP, dengan 480 dikenakan kompaun, manakala lima lagi direman.

Katanya, jumlah paling ramai ditangkap ialah di pusat hiburan, selain tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan sesak.

Mengenai Ops Benteng pula, Ismail Sabri berkata, seramai 41 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap dan pasukan keselamatan merampas empat kenderaan darat yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan Pati.

Beliau menjelaskan, Pati telah mengancam keselamatan negara dan kerana membawa penularan Covid-19 ke negara ini, selain di Pantai Timur Sabah dan sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Kita sekarang ini gunakan kaedah tangkap dan usir. Bagaimanapun, terpaksa dilakukan juga kerana mereka sudah masuk ke negara ini, manakala yang dikesan berada di sempadan, akan diusir.

“Saya menyeru orang ramai sama-sama membantu pihak berkuasa dengan melaporkan jika ada Pati yang masuk ke negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast