Kelibat terakhir mangsa, Irene Chung kelihatan sedang berjalan dari rakaman CCTV. foto Agensi

KUALA LUMPUR – MCA yang mengutuk pembunuhan kejam ke atas penuntut Malaysia di Taiwan mahu suspek didakwa dan dikenakan hukuman setimpal kerana keadilan perlu ditegakkan.

Taiwan perlu memberi keadilan kepada mangsa, Irene Chung yang telah dirompak, diperkosa dan dibunuh.

Pengerusi Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie berkata, Penasihat Undang-Undang dan Bantuan Wanita MCA Wanita (LAWA) akan bekerjasama dengan Ketua Biro Komunikasi & Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr Tee Ching Seng untuk menghubungi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia bagi mengikuti kes itu secara rapat dan memberi sokongan yang diperlukan.

Tegasnya, sejak bertahun-tahun, banyak pelajar Malaysia termasuk mangsa telah memilih Taiwan untuk melanjutkan pelajaran kerana yakin terhadap keselamatan mereka.

”Walaupun kami menghargai permintaan maaf yang dizahirkan oleh Presiden Tsai Ing Wen dan pihak berkuasa yang berkaitan serta ibu bapa suspek, tetapi tragedi ini amat menyedihkan bagi kami.

“Ini kerana individu yang tidak bersalah telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya dan sudah pasti keluarga akan menanggung kesedihan,” katanya.

Menurut Taipei News, mangsa dipercayai diculik ketika berjalan pulang dari kelas sekitar jam 8 malam pada Rabu lalu.

Suspek dalam siasatan awalnya memaklumkan kepada polis dia menculik mangsa dengan niat untuk menyerangnya secara seksual dan akhirnya memandu ke arah lereng bukit di daerah Alian Kaohsiung untuk membuang mayat Irene.

Rakan-rakan Irene kemudian melaporkan kehilangannya dan polis telah mengenal pasti suspek pada hari Khamis selepas memperoleh kenderaan suspek daripada rakaman litar tertutup berhampiran tempat penculikan.

Daripada maklumat nombor plat kereta, polis telah pergi ke rumah suspek di Kaohsiung.

Polis memaklumkan pihaknya menemui kesan darah dan seluar dalam wanita di dalam kereta suspek.

Heng berkata, seorang wanita juga pernah melaporkan dia hampir diculik di tempat yang sama tidak lama dahulu.

Oleh itu, selain mengecam pembunuh itu, kami berharap Taiwan dapat menangani masalah keselamatan untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku demi keselamatan awam terutama pelajar Malaysia yang tinggal di situ. – MalaysiaGazette