Parlimen setuju memendekkan waktu persidangan dan mengehadkan jumlah Ahli Parlimen.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang mengadakan sidang Parlimen secara maya sebagaimana dicadangkan banyak pihak berikutan peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perlembagaan dan peraturan Dewan Rakyat itu sendiri memerlukan sidang berkenaan diadakan dalam bangunan Parlimen.

Beliau memberi contoh, perlembagaan dan peraturan menetapkan bagi sebarang undian, terutama Belanjawan 2021, setiap Ahli Parlimen perlu mengundi di dalam bangunan Dewan Rakyat, tidak boleh di luar.

Ismail Sabri Yaakob

“Kita faham kes positif Covid-19 di negara ini masih tinggi dan ada beberapa kes melibatkan kakitangan Parlimen, tetapi secara perundangan, persidangan tidak boleh dibuat secara maya.

“Setakat ini, sidang Dewan Rakyat dilaksanakan seperti biasa. Hari ini sudah pun bermula, tetapi Parlimen telah memendekkan masa bersidang sehingga jam 1 tengah hari,” katanya pada sidang media khas Covid-19, hari ini.

Beliau juga memberi contoh, titah diraja pada hari pembukaan persidangan Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong akan sebut dengan jelas, “mesyuarat dalam Parlimen”, bahkan semua aturan mesyuarat seperti Ahli Parlimen hendak mencelah, mesti berdiri dan meminta izin dengan Speaker.

“Kalau diadakan secara maya, semua aturan mesyuarat dan undian ini tidak dapat dilakukan mengikut perlembagaan dan peraturan. Ini satu kesalahan perlanggaran.

“Justeru, kita menetapkan sidang diadakan di Parlimen dengan Ahli Parlimen hadir ke Dewan Rakyat, tetapi dengan SOP yang ketat seperti mengehadkan kehadiran Ahli Parlimen dan pegawai mereka.

“Ahli Parlimen dari Sabah wajib jalani kuarantin selama 14 hari dan yang dari Semenanjung perlu swab test Covid-19 sebelum masuk Parlimen,” katanya.

Mengenai mengehadkan jumlah kehadiran Ahli Parlimen, Ismail Sabri berkata, mesyuarat bersama Speaker hari ini yang dihadiri Ketua Whip dari semua parti kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan cadangan mengurangkan jangkamasa berada dalam Parlimen.

Kata beliau, keputusan juga dicapai untuk kurangkan jumlah Ahli Parlimen berada di Parlimen, tetapi mesti cukup korum untuk membolehkan persidangan diadakan.

“Semua keputusan ini sudah dibuat bersama parti-parti politik dan wakil-wakil mereka,” katanya.

Selain itu, kata beliau, Parlimen juga tidak akan dibuka kepada kunjungan orang ramai bagi mengekang penularan Covid-19.

Beliau juga berkata, Parlimen Australia pernah mengadakan sidang secara maya, tetapi mereka tidak boleh mengundi dan mencelah atas beberapa alasan yang berkaitan dengan peraturan Dewan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast