KUALA LUMPUR – Kerajaan mengakui berdepan dengan masalah kesesakan banduan di 39 institusi penjara seluruh negara.
Timbalan Menteri II Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jonathan Yasin berkata, sehingga 19 Oktober lalu, Jabatan Penjara Malaysia merekodkan seramai 66,791 banduan sedang menjalani hukuman.
Sedangkan kapasiti semua penjara yang ada hanya boleh dimuatkan seramai 46,420 banduan sahaja, iaitu menyaksikan lebihan 43.88 peratus setakat ini.
“Jabatan Penjara hadapi masalah kesesakan banduan dan hampir separuh melebihi kapasiti yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, Jabatan Penjara dan KDN dalam usaha untuk mengatasi masalah itu termasuk dalam proses menempatkan banduan ini di beberapa kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai penjara,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Parlimen hari ini.
Mengenai banduan yang positif Covid-19, Jonathan berkata, setakat ini pihaknya merekodkan 1,156 kes melibatkan banduan dan 83 kes di kalangan anggota penjara serta keluarga.
Katanya, berdasarkan laporan dari Kementerian Kesihatan (KKM), kes positif melibatkan banduan, pegawai dan keluarga penjara menunjukkan penurunan dalam tempoh dua minggu ini.
“Bagi membendung masalah ini, Jabatan Penjara Malaysia telah mengambil beberapa langkah termasuk mengetatkan SOP, memberi rawatan kepada banduan, pegawai dan keluarga penjara.
“Langkah juga diambil dengan mengenakan kuarantin kepada banduan yang positif Covid-19, melakukan swab test dan ujian pengesanan kepada semua banduan,” katanya.
Bagi kes positif Covid-19 di Penjara Kajang, beliau menyatakan, setakat ini dua kes dilaporkan iaitu masing-masing satu kes dikesan pada 1 dan 2 November lalu. – MalaysiaGazette
















