KUALA LUMPUR – Parlimen pagi ini dimaklumkan polis bantuan yang disahkan positif Covid-19 sehingga menimbulkan kebimbangan Ahli Parlimen tidak bertugas di bangunan Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, walaupun anggota polis itu bertugas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), tetapi tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana Ahli Parlimen, pegawai atau kakitangannya.
“Laporan semalam kata polis bantuan Parlimen positif sebenarnya tidak benar, bukan polis bantuan kita (Parlimen), ia anggota polis bantuan yang berkhidmat ditempat lain. Anggota itu berkhidmat di JPM.
“Polis itu bukan bertugas di sini (bangunan Parlimen), ia bertugas di tempat lain dan itu (laporan semalam) satu kesilapan. Memang polis bantuan di bawah JPM, tetapi bukan bertugas di Pejabat Perdana Menteri,” katanya ketika memulakan sesi Mesyuarat Ketiga Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, hari ini.
Jawapan beliau menimbulkan rasa tidak puas hati Datuk Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) dan Datuk Dr. Xavier Jayakumar (PKR-Kuala Langat) yang mendakwa, maklumat dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin semalam, mengelirukan.
Semalam, Takiyuddin memberitahu Dewan Rakyat, persidangan terpaksa dipendekkan sehingga jam 1 tengah hari kerana dimaklumkan ada kakitangan Dewan Negara disahkan positif Covid-19.
Menurut Azhar Azizan, beliau akan memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada Ahli Dewan Rakyat ketika sesi persidangan nanti, selepas mendapatkan maklumat dari Ketua Parlimen.
Beliau turut menjawab kebimbangan Mahfuz yang mendapat tahu sekurang-kurangnya empat kakitangan Dewan Negara turut disahkan positif Covid-19.
Katanya, maklumat itu tidak benar, sebaliknya yang disahkan positif Covid-19 ialah seorang pegawai kepada seorang Senator (Ras Adiba Radzi).
“Mengenai Dewan Negara, ia adalah kakitangan kepada seorang Senator. Pegawai itu datang melakukan swab test Covid-19 dan didapati positif, tapi dia tidak datang hari-hari di kawasan Parlimen.
“Saya akan keluarkan penjelasan. Yang penting, semua Ahli Parlimen yang hadir hari ini negatif Covid-19,” katanya.
Beliau berharap semua Ahli Parlimen bertenang dan masing-masing menjaga SOP ditetapkan. – MalaysiaGazette
















