Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 862 kes sabitan hukuman mati telah diketepikan pada peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi tempoh 20 tahun dari tahun 2000 hingga tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu Parlimen, jumlah itu adalah mengikut jenis kesalahan dan jantina.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 515 kes bagi jenis kesalahan yang direkodkan di Mahkamah Persekutuan dan 347 kes di Mahkamah Rayuan.

Takiyuddin Hassan

Katanya, di Mahkamah Persekutuan, kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan seramai 141 orang, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (351 orang), Akta Culik 1961 (20 orang) dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (tiga orang).

“Jumlah kes itu melibatkan 465 tertuduh lelaki dan 50 tertuduh perempuan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan dari Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang meminta Perdana Menteri menyatakan berapa kes sabitan hukuman mati yang telah diketepikan pada peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi 2000 hingga 2020 mengikut jenis kesalahan dan jantina.

Berhubung jenis kesalahan di Mahkamah Rayuan pula, Takiyuddin berkata, bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan seramai 65 tertuduh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pula seramai 282 tertuduh.

“Daripada jumlah keseluruhan 347 kes yang diketepikan sabitan hukuman mati itu, jumlah tertuduh mengikut jantina adalah 331 lelaki dan 16 perempuan,” katanya.

Daripada segi bantuan guaman dan kebajikan, jelas beliau, kerajaan menerusi Jabatan Bantuan Guaman (JBG) tidak bercadang mewujudkan Sistem Sokongan Mangsa untuk menyokong keluarga yang kehilangan orang kesayangan akibat kes bunuh itu.

Bagaimanapun, kata beliau, keluarga mangsa boleh merujuk JBG untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan guaman berdasarkan bidang kuasa sebagaimana diperuntukan dalam Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26).

“Sekiranya terdapat kes di luar bidang kuasa dan kepentingan keadilan mewajarkan, kelulusan menteri boleh dimohon oleh JBG bagi kes yang bermerit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast