Azhar Azizan Harun.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat tidak dibenar mengadakan majlis jamuan atau bermesyuarat dalam kelompok besar di kawasan premis Parlimen.

Peraturan itu dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerusi kenyataan pemasyhuran berhubung perkara tersebut hari ini.

Katanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menasihatkan sekiranya ahli Parlimen perlu bermesyuarat atau berkumpul, mereka harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Yang Berhormat ahli-ahli Parlimen dinasihatkan supaya menghadkan pergerakan masing-masing semasa di luar premis Parlimen sepanjang tempoh persidangan serta mengelakkan bergaul atau menghadiri majlis keramaian dan tempat yang sesak dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dengan ketat.

“Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen dan para petugas perlu menjalani saringan ujian Covid-19 setiap dua minggu. Untuk tujuan ini pihak pentadbiran Parlimen Malaysia akan mengeluarkan notis pemberitahuan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi pemasyhuran itu.

Azhar berkata, sekiranya terdapat kes positif di kompleks Parlimen, pihak KKM akan membuat penilaian terhadap SOP yang sewajarnya.

Beliau turut mengingatkan, jika terdapat jangkitan wabak itu di Parlimen ia mungkin akan menyebabkan bangunan itu ditutup sekiranya didapati perlu berbuat demikian. – MalaysiaGazette