Tan Sri Noh Omar
Noh Omar

KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar hari ini menarik diri sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi kuota Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana mahu menumpukan lebih perhatian kepada parti di negeri itu.

“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid atas pencalonan nama saya sebagai Ahli Jawatankuasa PAC bagi mewakili BN sepertimana diumumkan Speaker Dewan Rakyat semalam.

“Saya secara sukarela mengumumkan penarikan diri berkuat kuasa serta merta untuk memberi perhatian lebih kepada UMNO negeri Selangor,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Menurut Noh, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun semalam dan surat rasmi dihantar jam 10 pagi tadi.

Beliau berharap PAC akan terus memainkan peranan dalam memastikan tadbir urus kewangan negara berjalan dengan lancar dan teratur.

Semalam, Dewan Rakyat mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Wong Kah Woh sebagai Pengerusi dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun sebagai Naib Pengerusi.

Seramai 12 Ahli Parlimen dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAC yang baharu Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam); Yamani Hafez Musa (Bersatu-Sipitang); Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian); Noh (BN-Tanjung Karang); Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Turut dilantik Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas); Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik); Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh); Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli (PH-Lumut), Wong Shu Qi (PH-Kluang) dan Ahmad Hassan (Warisan-Papar). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.