Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhasrat untuk membentangkan sekurang-kurangnya tiga laporan dalam tempoh dua minggu ini.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, laporan itu berkaitan isu Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) serta penjualan tanah milik Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kata beliau, laporan itu merupakan antara beberapa kes atau isu yang tertangguh sebelum ini dan akan diberikan keutamaan oleh PAC yang selesai dibentuk semalam.

“Sebaik selesai pelantikan 12 ahli PAC, kami mengadakan mesyuarat pertama semalam dan semua ahli diberi taklimat oleh Sekretariat PAC Parlimen berhubung prosedur, tadbir urus serta punca kuasa jawatankuasa itu dalam mengadakan mesyuarat.

“Taklimat juga menyentuh mengenai kes dikendalikan PAC sebelum ini, yang telah ditangguhkan sejak Mac lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Kah Woh, PAC turut mengambil langkah menyiapkan laporan yang belum dimuktamadkan, iaitu isu Kawalan Pekerja Asing dan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS).

Katanya, jawatankuasa itu berhasrat memanggil semula Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang untuk memberikan taklimat kepada ahli PAC dengan isu yang dicadangkan itu.

Kata beliau, mereka akan memberi taklimat dalam mesyuarat prosiding berkaitan isu Pengurusan Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Perumahan Generasi Baru Felda, Pelan Pemulihan Syarikat Penerbangan MAS, Pertukaran Tanah Kementerian Pertahanan, 1BestariNet dan Sistem Automed Enforcement Systems (AES).

“Ini tidak lain untuk membolehkan ahli PAC khasnya yang baharu dilantik semalam mendapat penjelasan lanjut sebelum PAC membuat keputusan atas isu berkenaan,” katanya.

Menurutnya, PAC juga akan mendengar taklimat Ketua Audit Negara mengenai Laporan Ketua Audit Negara berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2019 apabila laporan berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat Khamis ini.

“Semua ahli PAC akan memainkan peranan dengan efektif dalam memastikan urusan, prosedur dan tatacara kewangan negara dipatuhi, sekali gus wang rakyat benar-benar dibelanjakan secara berhemah serta efisen.

“Kita juga berperanan menyediakan mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi kepada kerajaan dengan lebih telus serta berakauntabiliti.

“Kita akan meneruskan semangat dan tradisi PAC sebelum ini, iaitu memastikan ideologi politik masing-masing diketepikan apabila menghadiri mesyuarat supaya semua prosiding PAC dapat dijalankan tanpa rasa takut atau memihak mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut memberitahu, jadual mesyuarat PAC sepanjang dua minggu ini telah disusun dengan padat, yang mana mesyuarat diadakan setiap hari, pagi dan petang sepanjang sidang Parlimen bagi membolehkan jawatankuasa itu menebus kembali masa yang terbuang sebelum ini. – MalaysiaGazette