KUALA LUMPUR – Enam negeri lagi akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu mulai jam 12.01 tengah malam esok berikutan berlaku peningkatan ketara kadar kebolehjangkitan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam negeri itu ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPB itu bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti untuk bagi mengekang penularan Covid-19 di enam negeri berkenaan.

“Sidang khas hari ini mendengar pembentangan daripada KKM berhubung kes positif Covid-19 di beberapa negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
“Dalam tempoh ini, KKM telah melaksanakan penilaian risiko dan mendapati peningkatan ketara bilangan dan kadar kebolehjangkitan Covid-19 di negeri-negeri ini.
“Bertindak atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di enam negeri ini berkuatkuasa selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember ini,” katanya pada sidang media khas Covid-19, hari ini.
Beliau bagaimanapun menyatakan, tiga negeri iaitu Perlis, Kelantan dan Pahang tidak dikenakan PKPB tetapi masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menurut Ismail Sabri, sepanjang tempoh empat minggu PKPB, rakyat dari Perlis, Kelantan dan Pahang tidak boleh merentas ke enam negeri berkenaan termasuk Selangor.
Katanya, prosedur standard operasi (SOP) bagi PKPB sama seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu tidak dibenarkan rentas daerah dan negeri, kecuali pekerja yang mempunyai surat kebenaran majikan dan kad pekerja.
Orang ramai juga, ujar beliau, hanya dibenarkan dua ahli keluarga sahaja keluar untuk membeli barangan keperluan manakala aktiviti ekonomi masih dibenarkan dengan SOP yang lebih ketat.
Mengenai kes positif Covid-19 yang dikesan di Kelantan membabitkan jururawat, Ismail Sabri berkata, beliau tidak tahu apa alasan diberikan jururawat itu kepada polis ketika memohon surat kelulusan merentas negeri.
“Memang kita beri kuasa kepada polis untuk buat sekatan. Kadang-kadang ada pihak memaklumkan tujuan hendak keluar negeri memberi gambaran sebenar atau tidak.
“Seperti saya maklumkan, ada beberapa alasan yang dibenarkan seperti keluarga sakit atau sebagainya tetapi, mungkin ada orang salahgunakan kebenaran itu dan saya berharap polis akan lebih perketatkan lagi dari segi kawalan,” katanya. – MalaysiaGazette

















pastikan juga syarikat atau factory yang ada penularan dikenalpasti serta ditutup sementera waktu bukan membiarkan ia beroperasi sehingga peningkatan jangkitan yang merebak dibeberapa negeri .Jangan melihat ia sebagai penyumbang cukai kepada kerajaan tetapi kesannya jangka panjang kepada komuniti seperti kluaster Bayan