Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu dianggap tidak meyakinkan untuk memulih ekonomi negara.

Ini kerana, belanjawan berkenaan mencatat unjuran perolehan dari cukai yang tidak dapat dipertahankan.

Pandangan itu dilontarkan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid apabila merasakan belanjawan tersebut sepatutnya membentangkan penyelesaian kepada kadar pengangguran dan peluang pekerjaan yang sangat kritikal akibat ekonomi yang mengincup.

Katanya, ekonomi negara tidak akan pulih jika yang ditingkatkan ialah perbelanjaan namun, peluang mengembalikan pekerjaan buat mereka yang hilang mata pencarian tidak diatasi.

“Sementara kami mengalu-alukan langkah peruntukan RM3 bilion untuk keperluan vaksin menangani Covid19, kami mengingatkan ia seharusnya melibatkan semua penduduk, warga negara dan golongan imigran.

“Sementara seharusnya bajet kesihatan itu meliputi semua penyakit kronik yang selama ini menjadi pembunuh utama di negara ini seperti barah, penyakit kardiovaskular dan diabetes. Akses dan bekalan ubatan untuk penyakit-penyakit tersebut sepatutnya tidak dikurangkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengikut pembentangan belanjawan kelmarin, Mohd Azmi berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi negara akan berada pada paras 6.5 hingga 7.5 peratus pada 2021.

“Kami berpendirian ini tidak realistik memandang pertumbuhan ekonomi global dilihat negatif dan amat perlahan untuk kembali kepada status asal berdasarkan anggaran IMF dan Bank Dunia.

“Pemulihan ekonomi akan mengambil masa dan akan bergerak perlahan. Oleh kerana itu, Kementerian Kewangan perlu menyemak semula kadar pertumbuhan 2021 agar tidak berlaku salah unjuran,” ujarnya.

Kata beliau lagi, belanjawan kali ini juga tidak membentang pelan yang menyakinkan mengenai pemulihan ekonomi secara menyeluruh.

Apa yang dinyatakan dalam bajet bahawa kerajaan telah memutuskan untuk meningkat pinjaman bagi mengurangkan bajet defisit, katanya.

Tambah beliau, peningkatan pinjaman perlu dijelaskan kepada Parlimen supaya rasional menambahkan hutang tidak akan membebankan negara.

“Penjanaan pendapatan diperlukan untuk kerajaan sekaligus untuk isirumah. Ini sepatutnya dibayangkan dari bajet 2021.

“Pendapatan isirumah amat kritikal untuk memastikan kualiti hidup rakyat tidak terjejas.

Manakala, pendapatan isirumah perlu dipertingkatkan dengan memberi peluang pekerjaan sendiri (self employment) kepada rakyat .

Malangnya bajet ini tidak membayangkan dari mana kerajaan akan memperolehi pendapatan yang kukuh selain hanya unjuran dari kutipan cukai, katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan tidak boleh hanya dilihat boleh berbelanja tetapi tidak mampu menjana pendapatan.

Ini disebabkan katanya, pendirian pengurusan aset negara perlu dioptimakan agar tidak berlaku pembaziran seperti yang berlaku sekarang.

“Kewangan negara akan menanggung beban kerana banyak aset dan fasiliti terbiar dan tidak diurus dengan baik.

“Ini dapat dilihat dalam laporan audit negara yang berulang kali mencatat kecuaian pengurusan aset,” ujarnya. – MalaysiaGazette