KUALA LUMPUR – Satu daripada dua helikopter yang bertembung dan terhempas dalam insiden berhampiran Taman Melawati, dekat sini, tengah hari semalam, mendarat cemas kira-kira 200 meter depan kediaman Datuk Dr. Ibrahim Ali.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, ketika kejadian, beliau dan isteri baharu keluar dari rumahnya di Jalan A8 Taman Melawati.
Kata Dr. Ibrahim, beliau mendapat tahu kejadian itu selepas dihubungi jiran, memaklumkan ada berlaku kemalangan helikopter di udara, yang mana satu darinya terhempas kira-kira 500 meter dan satu lagi berhampiran rumahnya.

“Saya terima panggilan dari jiran. Helikopter yang terhempas itu kira-kira 500 meter dari rumah saya.
“Satu lagi helikopter mendarat cemas di padang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil, betul-betul depan rumah saya sekitar 200 meter.
“Dua helikopter ini dikata bertembung. Mungkin mereka terbang seiringan dan angin kencang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Dalam insiden kira-kira jam 11.20 pagi semalam, dua helikopter dua buah helikopter 9M-HCA dan 9M-HCB jenis G2CA yang dalam latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dilaporkan bertembung.
Akibat pertembungan itu, salah sebuah helikopter terhempas, sementara sebuah lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan SJKT Taman Melawati.
Kedua-dua helikopter itu dipercayai menuju ke Genting Sempah.
Insiden berkenaan mengorbankan bekas tentera laut, Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56, dan Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41.
Manakala dua yang terselamat ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan, yang mendarat cemas.
Menurut Dr. Ibrahim Ali, beliau bersyukur helikopter itu tidak terhempas atas rumah penduduk Taman Melawati.
“Helikopter ini dari syarikat swasta dan pihak Penerbangan Awam perlu menyiasat dengan lebih terperinci punca insiden itu.
“Jangan terima bulat-bulat laporan syarikat helikopter berkenaan dan untuk sementara waktu ini saya harap semua helikopter jenis ini tidak dibenarkan terbang sehingga siasatan selesai,” katanya. – MalaysiaGazette
















