KUALA LUMPUR – Kerajaan bersiap sedia dengan prosedur standard operasi (SOP) untuk dilaksanakan di negeri yang akan menghadapi musim tengkujuh, khususnya di Pantai Timur, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini telah mendengar pembentangan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung SOP Pengurusan Bencana Semasa Pandemik Covid-19.
SOP pengurusan banjir itu katanya, merangkumi pengurusan sebelum, semasa dan selepas operasi termasuk penetapan dan pengendalian Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Antara SOP itu ialah PPS boleh dibuka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekiranya tidak dapat dielakkan.
“Setiap PPS pula perlu dilengkapi Kod QR MySejahtera dan setiap petugas serta mangsa banjir yang terlibat perlu menggunakan aplikasi tersebut,” katanya pada sidang media khas Covid-19, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, PPS perlu didisinfeksikan sebelum menerima mangsa banjir, termasuk menyediakan peralatan mencukupi seperti pelitup muka, hand sanitizer, penyukat suhu dan Personal Protective Equipment (PPE).
Ujar beliau, semua kawasan tertutup di PPS perlu dibiarkan terbuka bagi membolehkan peredaran udara yang mencukupi untuk mengeluarkan partikel yang tercemar.
Manakala proses pemindahan mangsa ke PPS perlu mematuhi garis panduan pengurusan PPS semasa Covid-19 dan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Dari segi penyediaan sajian kepada mangsa banjir dan petugas PPS pula, katanya, perlu dilakukan secara berbungkus.
“Setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS perlu disaring dan kemudian ditempatkan dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal.
“Mangsa banjir juga akan dibekalkan dengan pelitup muka dan dikehendaki memakainya setiap masa.
“Bagi mangsa banjir yang bergejala, mereka akan dirujuk ke Klinik Kesihatan dan jika negatif, mereka akan diasingkan di ruang pengasingan khas yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata, tempoh pengasingan mangsa bergejala adalah tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan oleh KKM.
Mengenai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hendak menyalurkan bantuan, katanya, mereka dinasihatkan menghubungi Pusat Pengurusan Bencana Daerah terlebih dahulu bagi tujuan penyelarasan.
Pihak NADMA, kata Ismail, juga telah memberikan taklimat dan penerangan secara terperinci kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. – MalaysiaGazette
















