Kerajaan menggunakan kaedah mengusir PATI yang cuba memasuki perairan dan sempadan negara ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 31,282 pendatang tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara ini berjaya diusir Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke negara masing-masing menerusi Ops Benteng sepanjang lima hari sejak 5 November lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, PATI paling ramai cuba menceroboh masuk secara haram ialah warganegara Indonesia seramai 14,072 orang.

Katanya, warga Bangladesh yang berjaya diusir sepanjang tempoh itu seramai 4,551 orang, diikuti Myanmar (2,898), Thailand (2,200), India (2,189), China (1,856), Pakistan (1,230), Vietnam (247) dan Nepal (397 orang).

Beliau berkata, menerusi Ops Benteng juga polis dengan kerjasama anggota tentera yang mengadakan sekatan jalan raya, berjaya menahan 22 Pati termasuk merampas tiga kenderaan darat yang digunakan untuk menyeludup pendatang asing ke negara ini.

Menerusi Ops Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata, seramai 717 individu ditahan semalam dengan 704 dikenakan kompaun.

“Jumlah itu juga termasuk 63 kes gagal mematuhi larangan rentas negeri dan daerah,” katanya pada sidang media khas Covid-19 hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Mengenai kerja dari rumah bagi pekerja di negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti Perlis, Kelantan dan Pahang, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat khas menteri-menteri esok.

Bagaimanapun, kata beliau, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun akan mengumumkan perkara berkaitan dengan kanak-kanak yang belajar di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).

“Kita faham dengan situasi yang dihadapi ibu bapa di tiga negeri ini, walaupun tidak dikenakan PKPB tetapi sesi persekolahan terpaksa ditutup dan mereka berdepan dengan masalah untuk menjaga anak kerana terpaksa keluar bekerja.

“Perkara ini akan diketahui dalam sedikit masa lagi, selepas saya dengan beberapa kementerian akan berbincang esok,” katanya.

Berhubung hasrat rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan hendak ke Sarawak terpaksa ditangguhkan dahulu, kerana negeri itu telah mengeluarkan SOP larangan merentas negeri.

“Sarawak sudah pun keluarkan SOP rentas negeri, tidak membenarkan walaupun dari Semenanjung termasuk negeri yang tidak dikuatkuasakan PKPB seperti Pahang, Kelantan dan Perlis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast