Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti menyindir mereka yang berada dalam kerajaan yang hanya pandai melahirkan rasa simpati kepada petugas barisan hadapan (frontliners).

Namun apabila membentangkan Belanjawan 2021, peruntukan yang disediakan itu tidak setimpal dengan dengan pengorbanan yang mereka dicurahkan.

Berikutan itu, Anwar mencadangkan agar peruntukan mega seperti yang diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebanyak  RM85.5 juta disalurkan kepada petugas barisan hadapan.

“Juga peruntukan secara one-off berjumlah RM8.6 juta untuk Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang beri keuntungan kepada kelompok daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu ketika membahaskan usul Rang Undang Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Malah beliau turut mencadangkan supaya kerajaan membatalkan peruntukan-peruntukan tidak penting bagi membolehkan ia disalurkan bagi mengekang wabak Covid-19.

Menurut Anwar, beliau bersimpati dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang bukannya ahli politik terpaksa menyediakan jawapan mengenai Belanjawan 2021 apabila ditanya Ahli parlimen.

“Beliau tulis sahaja. Saya hendak cakap dengannya, bila dipersoal beliau yang kena dulu. Jadi baik batalkan sahaja peruntukan ini,” ujarnya.

Anwar dalam nada menyindir berkata, beliau mungkin bersetuju dengan jumlah yang diperuntukan untuk Jasa adalah lebih kecil berbanding sebelum ini.

“Kalau Menteri Kewangan luluskan sekitar RM8,000 kita boleh luluskan. Tetapi keadaan rakyat kini susah. Zalimlah ambil wang lebih RM80 juta (untuk Jasa),” katanya. – MalaysiaGazette