Azman Kang Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik tindakan polis menahan individu yang sengaja mengganggu tugas dan siasatan pihak berkuasa dengan membuat rakaman atas nama hak asasi.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM), Azman Kang Abdullah berkata, tindakan yang diambil itu kena pada masanya kerana sebarang provokasi termasuk merakam tugas anggota keselamatan atas alasan bukti perundangan tidak boleh diterima.

Ia seolah-olah memperlekeh kewibawaan pihak berwajib.

Azman Kang berkata, apa sahaja tindakan yang mengganggu kerja pasukan keselamatan perlu diambil tindakan tegas tanpa mengira latar belakang atau pengaruh.

“Dengan cara ini, perbuatan biadab dan melampaui batas pihak tertentu dapat ditangani dan akan mendidik rakyat Malaysia untuk menghormati undang-undang.

“Negara ada peraturan yang harus diikuti. Kalau semua orang merasakan mereka ada hak, pihak berkuasa juga mempunyai hak.

“Saya kata begini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujud kelompok tertentu yang mencabar pihak berkuasa ketika menjalankan tugas termasuk melakukan provokasi atas nama hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Beliau mengulas mengenai tindakan anggota polis menahan seorang lelaki kerana mengganggu dan menghalang tugas ketika membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48 di sini baru-baru ini.

Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki berusia 24 tahun mengganggu tugas polis dengan membuat rakaman video dan menyiarkan melalui siaran langsung di laman Facebook.

Menurut Azman Kang, perbuatan tidak sepatutnya berlaku dan orang ramai patut menjadikan beberapa negara lain sebagai contoh, di mana undang-undang sudah dipermainkan hanya kerana mendakwa mereka mempunyai hak.

Kata beliau, semua pihak khususnya NGO perlu memberikan sokongan kepada pihak berkuasa bagi membendung tindakan pihak tertentu yang menggunakan alasan hak asasi untuk kepentingan peribadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast