Veeran

KUALA LUMPUR – Walaupun Belanjawan 2021 sudah di bentangkan Jumaat lepas oleh kerajaan namun rata-rata masih lagi mengeluh, paling banyak kedengaran ialah golongan M40.

Malah pengumuman kerajaan berhubung pengeluaran dana caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan jumlah RM500 sebulan sebenarnya mengecewakan pelbagai pihak yang semakin kesempitan hidup.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) merangkap Timbalan Ketua MIC Bahagian, Veeran Muniandy berkata, isu moratorium juga menjadi kebimbangan kerana terlampau ramai di luar kini dalam keadaan terdesak dan tidak mampu menanggung pelbagai hutang keliling mereka.

“Memang kita berterima kasih kerana kerajaan sedang berhempas pulas untuk memastikan rakyat terjaga dalam keadaan kegawatan ekonomi lagi-lagi ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

“Tetapi pada masa sama agak tidak praktikal seandainya pengeluaran KWSP hanya untuk golongan tersasar walhal yang sedang berdepan dengan krisis kewangan ialah lebih daripada yang tersasar ini.

“Pengeluaran ‘one off’ dengan jumlah sekurang-kurangnya 10 peratus sekaligus sebenarnya mungkin jauh lebih membantu kerana boleh membayar segala macam hutang untuk beberapa bulan akan datang, jika RM500 sebulan bisnes baru pun mereka tidak boleh.

“Banyak yang mengadu kepada saya, ramai sungguh yang terjejas. Kerajaan perlu kaji balik isu moratorium juga. Bank perlu beri sedikit kelonggaran kepada semua, beri mereka pilihan. Siapa sangka akan adanya pandemik ini melanda dunia, tolonglah.

“Realiti ketika ini semua terjejas. Tempoh hari ramai dari M40 tampil kecewa kerana seperti tidak ada apa langsung untuk mereka. Kasihanilah mereka ini, semoga ketika penggulungan nanti akan khabar berita baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000.

Pengeluaran Akaun 1 KWSP dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli terjejas selain membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun semenjak pembentangan ramai tampil mengkritik pengumuman bersasar itu sebaliknya mendesak kerajaan untuk memperluaskan kemudahan itu kepada semua pihak yang terjejas.

Hari ini juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan tidak akan ada sokongan majoriti terhadap Belanjawan 2021 kerana tidak begitu mencerminkan keprihatinan kerajaan membantu rakyat serta memperuntukan dana banyak untuk Covid-19. -MalaysiaGazette