Bekas Pemain dan Pegawai Pasukan Bola Sepak Selangor 1995, (dari kiri) K. Gunalan, Asmawi Bakiri, Ismail Ibrahim, Datuk K. Rajagopal dan isteri kepada allahyarham Anuar Abu Bakar, Siti Mariam Sathwee menunjukkan keratan akhbar ketika pendedahan eksklusif mengenai status anugerah sebidang tanah setelah muncul juara pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun 1995 di Studio Astro Arena, Petaling Jaya. foto AFIQ HAMBALI, 11 NOVEMBER 2020

PETALING JAYA – Janji tinggal janji, begitulah nasib 31 pemain bola sepak Selangor era 1995 yang dijanjikan dengan tanah anugerah daripada Kerajaan Negeri Selangor yang sehingga kini masih menemui jalan buntu dan tiada penyelesaian daripada mana-mana pihak.

Menurut bekas kapten Selangor 1995, Ismail Ibrahim, pemberian tanah anugerah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 11 November 1995 dan hari ini genap 25 tahun berlalu tanpa sebarang pembelaan.

“Pada tarikh hari ini, 25 tahun lalu tanggal 11 November 1995, pasukan Selangor telah berjaya menjulang Piala Malaysia kali ke-28 setelah menanti selama sembilan tahun untuk menjuarai piala keagungan bola sepak negara.

“Di atas keprihatinan dan penghargaan, Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah membuat pengumuman pada malam sambutan kejayaan menjuarai Piala Malaysia pads 15 November 1995 di Kelana Jaya.

“Kerajaan Negeri mahu menganugerahkan sebidang tanah kepada setiap pemain dan pegawai pasukan bola sepak Selangor yang terlibat dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1995 dengan menumpaskan Pahang 1-0,” katanya ketika bersiaran langsung di Astro Arena, hari ini.

Hadir sama bekas penolong jurulatih Selangor, Datuk K. Rajagopal; bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri dan isteri pemain Selangor Anuar Abu Bakar, Siti Mariam Sathawee.

Lebih mengejutkan apabila 31 pemain dan pegawai pasukan Selangor 1995 diminta menjelaskan bayaran premium tanah anugerah terbabit sebelum ini, menyebabkan hadiah itu terpaksa ditarik balik oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Bekas Pemain Pasukan Bola Sepak Selangor 1995, Ismail Ibrahim ketika pendedahan eksklusif mengenai status anugerah sebidang tanah setelah muncul juara pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun 1995 di Studio Astro Arena, Petaling Jaya. foto AFIQ HAMBALI, 11 NOVEMBER 2020

“Tanah anugerah untuk kesemua 31 pemain Selangor seluas 40 ekar dan ini tanah kurnia, kami tak nak bayar dan kami tak perlu pun membayar premium tanah kurnia ini.

“Ini hadiah, lainlah kalau kami minta tanah dengan kerajaan negeri. Oleh kerana premium tanah ini tidak dibayar, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil balik tanah-tanah ini pada 2016.

“Bila perkara ini berlaku, kami rasa tertipu, namun kita tetap berusaha bermacam untuk buat urusan tuntut tanah anugerah ini,” jelasnya.

Ismail mendakwa, pengumuman penganugerahan tanah itu adalah hasil mesyuarat bulanan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kerajaan Negeri Selangor pada pagi 15 November 1995.

Malangnya pengumuman itu tidak disertakan dengan bukti hitam putih tanah anugerah kepada 31 pemain pasukan Selangor 1995 dan menyebabkan sehingga kini pihaknya sukar membuat tuntutan hadiah kejayaan itu.

Sebaliknya urusan penganugerahan tanah terbabit diamanahkan kepada pengurus pasukan Selangor ketika itu, iaitu Datuk Mohd Aini Mohd Taib menyebabkan tanah seluas 40 ekar itu gagal diserahkan setelah 25 tahun berlalu.

Sementara itu, Rajagopal mengakui perkara itu sedikit banyak memberi tekanan kepada semua pemain Selangor era 1995 yang berusaha keras untuk mengharumkan nama pasukan ketika itu.

“Ketika itu saya pembantu jurulatih. Kalau boleh selesaikan secepat mungkin kena fikir pemain-pemain pada masa itu kerana meraka telah memberi kegembiraan kepada rakyat Selangor ketika itu.

“Malah saya sendiri bertanggungjawab untuk beri sokongan kepada pemain-pemain ketika itu (kekalkan semangat).

“Bila kita berjanji, pemain akan bermain dengan baik sebab dia harapkan sesuatu.

“Saya ikuti dan tidak kata itu ini salah kita tak nak pertikaian. Sesiapa bertanggungjawab tolong selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Bagi Asmawi yang juga salah seorang bekas pemain Selangor era 1995, pihaknya tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa, sebaliknya mahu perkara yang berlarutan sejak 25 tahun itu diselesaikan segera.

“Pendedahan ini bukan nak meraih simpati mana-mana pihak, kami hanya mahu tahu ganjaran tersebut yang setakat ini tiada penyelesaian.

“Kami tiada perjanjian penyerahan tanah kepada kami tapi hanya di atas nama persatuan,” katanya.

Asmawi mendedahkan pihaknya pernah melakukan pertemuan dengan beberapa Menteri Besar Selangor sebelum ini, namun tiada maklum balas setakat ini.

“Kami pernah buat semakan dengan Menteri Besar ketika itu, malah Menteri-Menteri Besar selepas itu, namun lima hingga enam Menteri Besar sebelum ini memberi respon yang lama dan tidak baik.

“Malah cukup berbeza cara anugerah ini diselesaikan oleh setiap Menteri Besar yang kami temui sebelum ini,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila seorang pemain Selangor, Annuar Abu Bakar telah kembali ke rahmatullah tahun lalu, dan usaha menuntut tanah anugerah itu kini diteruskan isterinya, Siti Mariam.

“Saya harap pihak tertentu termasuk bekas pengurus pasukan boleh tengok permasalahan ini tuntut hak kami.

“Sukar saya nak cerita balik sedih sangat dan harap pihak berwajib campur tangan selesaikan masalah 25 tahun ini.

“Kami cuma nak hak kami, bukan mudah untuk kami buat rujukan kami, kena cari balik. Atas usaha arwah keluar di Buletin TV3,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast