PERALIHAN pantas dunia teknologi maklumat telah mengubah segenap dimensi kehidupan manusia sejagat. Perubahan itu jelas terasa di bidang ekonomi, kewangan, pendidikan, kewangan, perbankan, politik, sains dan teknologi.
Segenap urusan transaksi kini sudah meluas menggunakan perkhidmatan dalam talian, misalnya perbankan dalam talian, jual-beli dalam talian dan pelbagai urusan perkhidmatan secara dalam talian.
Urusan tradisional secara manual kini semakin berkurangan, mengecil dan lama kelamaan menjadi usang, semakin jarang digunakan.
Lihat sahajalah dunia pendidikan hari ini. Impak wabak Covid-19 mempercepatkan proses ke arah pembelajaran dan pengajaran (P&P) secara dalam talian. Hari ini beratus ribu anak-anak muda sama ada di peringkat persekolahan sehingga ke pendidikan tinggi terpaksa menggunakan kaedah baharu pembelajaran secara dalam talian.
Jika satu ketika universiti terbuka menggunakan kaedah dalam talian dianggap asing atau janggal, hari ini semua universiti, kolej, politeknik sehingga ke peringkat sekolah merupakan satu keperluan untuk mengajar menggunakan perkhidmatan dalam talian.
Pelbagai pelantar seperti Microsoft, Google Classroom, Zoom, dan Webex digunakan secara meluas bagi memastikan proses pembelajaran tidak tergugat akibat wabak Covid-19 ini.
Tidaklah mustahil dalam tempoh singkat dan masa ke muka proses pembelajaran akan menggabungkan terus kaedah bersemuka di bilik kuliah dan secara dalam talian melihat kepada meluasnya penggunaan kaedah dalam talian sekarang ini.
Kaedah hibrid, iaitu cantuman kedua-dua pendekatan secara bersemuka dan dalam talian menjadikan proses pembelajaran lebih berkesan, menarik, menghiburkan dan membolehkan proses penyampaian ilmu sentiasa segar.
Bidang komunikasi massa yang lazimnya bertunjangkan kepada cabang asas disiplin ilmu seperti kewartawanan, penyiaran, perhubungan awam, dan periklanan kini sedang melalui satu proses transformasi menyeluruh kesan ledakan teknologi maklumat.
Apabila segala-galanya kini sudah beralih kepada pengunaan teknologi maklumat (IT), bidang komunikasi massa lebih cepat terkesan. Media tradisional seperti akhbar, radio, dan televisyen dilihat paling cepat terkesan dengan perubahan ini.
Sama ada jualan akhbar terus merosot, syarikat penerbitan media yang beroperasi secara tradisional atau manual perlu membuat penyesuaian atau ada yang menutup terus operasi, mengurangkan saiz pekerja atau mencari opsyen lain untuk kekal bersaing di dalam pasaran yang amat rencam dan penuh persaingan.
Secara realistik, pilihan yang ada ialah menyesuaikan diri dengan iklim perubahan semasa dan sentiasa melakukan antisipasi terhadap masa depan. Jika tidak sektor penerbitan, percetakan, dan penyiaran akan terus malap.
Ini bukan bermakna masyarakat tidak lagi memilih untuk membaca dan menonton filem, drama, program hiburan, mendapatkan maklumat dan sebagainya tetapi kecenderungan kini lebih dominan kepada penggunaan media baharu atau media sosial.
Pelbagai pelantar pilihan yang ada seperti akhbar dalam talian, twitter, Instagram, Facebook, Youtube menjadikan proses pencarian maklumat, ilmu, hiburan lebih mudah, pantas, mudah diakses, interaktif dan menyeronokkan.
Oleh itu, bidang komunikasi sebagai satu disiplin yang diajar di peringkat kolej dan universiti perlu sekali melihat ke dalam dengan mengkaji secara rinci kurikulum dan sukatan mata pelajaran yang ditawarkan.
Mungkin sekali ada sesetengah modul atau mata pelajaran tersebut sudah tidak relevan, mungkin perlu penyesuaian atau anjakan, diganti dengan modul baharu yang lebih terkini, menarik dan mengambilkira kesan media baharu.
Misalnya, modul kewartawanan yang diajar tidak lagi sesuai menggunakan akhbar tradisional semata-mata sebagai rujukan tetapi perlu mengambilkira keperluan masa depan.
Mungkin gaya penulisan menggunakan kaedah piramid terbalik – satu kaedah penulisan konvensional kewartawanan melewati satu abad diajar sebagai ilmu asas semata-mata, tetapi perlu disesuaikan dengan cara penulisan untuk media baharu yang lebih singkat, pantas, dan senang diakses.
Kini. apakala semua orang boleh bertindak sebagai wartawan warga atau citizen journalist, hampir semua sisi berita, maklumat, gambar foto sudah boleh diakses dengan begitu mudah dan pantas. Lihat sahaja tragedi helikopter terhempas di Taman Melawati, Ahad lalu.
Begitu cepat sekali kita mendapatkan berita, lengkap dengan rakaman video bagaimana helikopter tersebut melayang terhempas hasil rakaman orang awam. Jadi peranan mutlak berita hanya ditulis pemberita, gambar dihasilkan oleh jurugambar atau rakaman video untuk tujuan penyiaran televisyen oleh wartawan penyiaaran sudah berakhir.
Wartawan warga turut mengambil peranan, malahan perkhidmatan mereka tidak pun berbayar, tidak melalui latihan atau pendedahan dalam ilmu kewartawanan, hanya minat dan kesukaan untuk berkongsi berita, gambar dan maklumat mutakhir sudah memadai untuk berkongsi sebarang berita.
Kesannya begitu hebat kepada model perniagaan atau industri media. Bila berita atau gambar foto dan video bukan lagi komoditi ekslusif buat kelompok pengamal media, tetapi sudah menjadi komoditi inklusif yang boleh dikongsi dan diraikan bersama oleh wartawan warga serta orang awam, situasi lama pergantungan kepada media tradisional sudah tidak lagi relevan.
Ini belum lagi mengambilkira “youtuber” yang semakin aktif merakam dan berkongsi cerita, peristiwa, maklumat, gambar yang lebih menghiburkan.
Selain semakan dan penggubalan semula kurikulum Pengajian Media dan Komunikasi, paling penting ialah menyediakan pelajar dengan pola pemikiran baharu, yang bersesuaian dengan aliran terkini dan ke muka dunia komunikasi maklumat.
Pelajar perlu disediakan dengan budaya pemikiran yang lebih “enterprising” memandangkan dunia pekerjaan bukan lagi mudah dan menunggu siswazah sebaik tamat pengajian. Kemahiran menguasasi media baharu dan kebolehan untuk menyediakan diri menghadapi model baharu perniagaan berasaskan media baharu merupakan ramuan penting bagi setiap pelajar komunikasi.
Ini jelas menunjukkan bidang komunikasi, kewartawanan, perhubungan awam, periklanan dan cabang pengkhususan lain masih tetap relevan, tetapi mesti disesuaikan, perlu bersifat anjal, memberi penekanan terhadap media baharu, memahami model baharu perniagaan beraskan komunikasi maklumat, memupuk budaya keusahawanan sejati dan menyiapkan bahan-bahan baharu penulisan, gambar foto, rakaman video yang bersifat interaktif, pantas, mudah diakses.
Selain peranan guru di bidang komunikasi, peranan pemain industri media amatlah penting untuk memberikan input terkini, relevan dan kemaskini.
Bidang komunikasi bergerak amat pantas seperti juga putaran kehidupan kini yang semakin cergas, dinamik dan laju. Bidang ini tidak akan mati, tetapi prasyarat untuk menghidupkannya ialah dengan proses rejuvenasi – mengadunkan ilmu, bahan, kepakaran, kemahiran dan pemikiran realistik menghadapi era media baharu yang serba dinamik.
Bidang komunikasi perlu bersifat progresif menangani tuntutan persekitaran yang terus berubah. – MalaysiaGazette

Oleh: Mohd Shah Abdullah, Ketua Jabatan Komunikasi dan Bahasa Manipal International University (MIU), Nilai.
















