Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan awam yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar kepada ekonomi.

Berikutan itu, kementerian telah diminta agar memulakan
pelan perolehan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan projek dapat dilaksanakan segera.

Menurut Majlis Tindakan Ekonomi, kerajaan sedar, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar yang berterusan di beberapa buah negeri dan wilayah telah mempengaruhi kegiatan ekonomi.

“Oleh itu, perbelanjaan pembangunan kerajaan harus memberi keutamaan kepada pelaburan yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan nilai faedah terbaik bagi menyokong pemulihan ekonomi.

“Untuk itu, tatacara perolehan sedia ada perlu disemak kesesuaiannya dalam tempoh sukar ini bagi membolehkan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi untuk kepentingan awam berjalan mengikut jadual, sekali gus mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, satu Jawatankuasa Pemudahcara yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki bin Ali bagi memantau pelaksanaan projek pembangunan dan membantu memudahkan proses-proses yang terbabit telah diwujudkan pertengahan Julai tahun ini.

Tambahnya, setakat ini beberapa keputusan penting telah diambil oleh jawatankuasa itu antaranya memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bertindak sebagai enabler dan peraturan sedia ada tidak melambatkan proses kerja dan penyelesaian projek dijadikan KPI bagi semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan.

Katanya, pelaburan syarikat awam bukan kewangan (NFPC) juga adalah penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya apabila pelaburan swasta tidak memberangsangkan pada masa ini.

“Sumbangan NFPC kepada jumlah pelaburan sektor awam telah
semakin berkurang semenjak tahun 2017, ujarnya.

Majlis Tindakan Ekonomi berkata, setakat 8 November 2020, kerajaan telah membelanjakan 80.62% daripada peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2020 yang berjumlah RM64.96 billion.

Katanya, pPrestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan tahun 2020 juga adalah lebih tinggi berbanding tahun 2019 berikutan pelaksanaan projek rangsangan ekonomi dan beberapa langkah lain yang telah diambil bagi mempercepatkan perbelanjaan pembangunan serta pelaksanaan projek-projek berskala kecil di bawah pakej rangsangan. – MalaysiaGazette