Aidah Abu menyerahkan sumbangan cenderahati kepada seorang daripada pesakit di Pusat Rawatan Dialisis Puteri Zulaikha pada 28 September lalu.

KUALA LUMPUR – Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis TNB) menyumbang 25 unit mesin dialisis (24 mesin di Semenanjung dan satu di Sabah) untuk kegunaan hospital dan pusat dialisis bukan berasaskan keuntungan di seluruh negara.

Sumbangan bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang yang semakin meningkat dijayakan hasil kutipan dana malam amal persatuan tersebut.

“Pelitawanis TNB memilih untuk menyumbang mesin dialisis kerana memahami bahawa jumlah pesakit yang memerlukan rawatan semakin meningkat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini,” kata Yang Dipertua Pelitawanis TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu.

“Lebih-lebih lagi, usaha ini bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan, khususnya golongan B40 agar berpeluang menerima rawatan,” katanya Datin Seri Aidah Abu.

Pelitawanis TNB adalah persatuan wanita yang dianggotai seramai 6,900 ahli terdiri daripada warga kerja wanita dan pesara wanita TNB, selain isteri serta balu kepada warga kerja lelaki TNB.

Menurut Aidah, mesin dialisis ini mula diserahkan sejak awal September lalu bermula di Klang, Selangor dan yang terakhir di Kulim, Kedah.

Katanya pembelian mesin dialisis berkenaan adalah dana yang dikumpul daripada syarikat dan individu hasil penganjuran majlis Malam Amal Pelitawanis TNB yang sepatutnya berlangsung pada Mac lalu.

Dana yang sama turut digunakan untuk membantu badan-badan kebajikan lain termasuk Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menerima RM100,000, dan projek dapur terpusat untuk Autism Cafe Project sebanyak RM50,000.

Sumbangan sebanyak RM12,000 juga telah diberikan kepada Make A Wish Malaysia untuk memenuhi hasrat kanak-kanak yang menghidapi penyakit leukaemia.

Pada bulan Jun lalu, Pelitawanis TNB berjaya mengumpulkan lebih RM1 juta lagi dana sumbangan pengurusan dan warga kerja TNB.

Lebih 80 peratus dana terkumpul digunakan untuk membantu golongan B40 dan rumah-rumah anak yatim, manakala selebihnya bagi petugas barisan hadapan, pusat penjagaan warga emas dan pelajar-pelajar yang terkandas di pusat pengajian tinggi. – MalaysiaGazette