Wujudkan platform padanan pekerja dan majikan/pemilik perniagaan untuk membolehkan kita sesama wanita saling tolong-menolong.- Gambar hiasan.

TOPIK hangat kita pada bulan ini, Belanjawan 2021. Semua memandang penting dan serius budget tahun hadapan kerana kita berada didalam situasi pandemik Covid-19.

Setakat ini, sebanyak RM226 juta telah di khususkan bagi wanita. Secara rumusannya:
✅ RM145 juta didalam bentuk pinjaman;
✅RM30 juta geran pembukaan pusat penjagaan kanak-kanak di bangunan kerajaan;
✅ RM20 juta geran bagi pembukaan pusat penjagaan kanak-kanak sektor swasta;
✅ RM10 juta manfaat kesihatan wanita bagi saringan kanser serviks; dan mamogram bagi saringan kanser payudara
✅ RM21 juta bagi Pusat Sokongan Sosial setempat.

Terima kasih diatas peruntukan yang diberikan ini.

Akan tetapi, apabila kita lihat kepada peruntukan yang diberi, 64 peratus daripada bajet berbentuk pinjaman. Demografik wanita di Malaysia 71.2 peratus daripada tenaga kerja wanita adalah bekerja makan gaji. Hanya 19.5 peratus bekerja sendiri, 1.7 peratus majikan dan selebihnya pekerja keluarga tanpa gaji.

Peruntukan yang besar diberikan kepada golongan yang kecil, 21.2 peratus.

Majoriti yang makan gaji mungkin akan menerima manfaat pusat penjagaan kanak-kanak. Sebahagian daripada populasi 71.2 peratus mungkin memiliki perniagaan sampingan bagi membantu sara hidup keluarga. Saya percaya sebilangan kecil daripada populasi ini masih boleh memanfaat kan pinjaman yang diberikan kerajaan.

Cadangan dan harapan saya:

  1. Proses aplikasi pinjaman ini dipermudahkan dari segi:

i) aplikasi atas talian yang lebih mesra bagi mereka yang bekerja sepenuh masa dan memiliki perniagaan.

ii) Jika perlu menghadiri kelas-kelas latihan sebagai satu syarat aplikasi, kelas latihan ini wajarlah dilakukan di atas talian dihujung minggu bagi memberi peluang yang sama rata kepada golongan ini.

2) Tiada bantuan khas bagi ibu tunggal dan suri rumah. Sebaiknya, geran-geran khas diwujudkan bagi dua golongan ini bagi membantu mereka.

Contohnya, geran khas bantuan modal perniagaan boleh diberikan kepada wanita secara umum dan ibu tunggal dan suri rumah secara khusus. Saya percaya, suri rumah banyak yang akan memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah bagi membantu ekonomi keluarga yang terjejas. Begitu juga dengan ibu tunggal, mungkin mereka ada yang sudah berniaga atau bekerja, akan tetapi bantuan berbentuk geran akan sangat membantu mereka menjana ekonomi keluarga dan negara.

Hakikatnya, kita semua tahu satu perkerjaan di zaman ini adalah tidak mencukupi. Dan mungkin ada juga tertanya jika hendak lakukan 2 kerja sebagai wanita sudah tentu sangat mencabar. Dengan cabaran menguruskan rumah dan anak-anak kecil. Disini saya percaya sokongan komuniti untuk membantu satu sama lain memainkan peranan. Mungkin didalam satu komuniti boleh lah ada beberapa wanita lain yang mengambil upah menjaga anak-anak kawan-kawan agar mereka yang perlu berniaga dapat menjalankan tugas ini. Sudah tentu dengan keadaan pandemik sekarang SOP seharusnya di patuhi.

3) Selain bantuan berbentuk pinjaman dan geran, sewajarnya institusi-institusi yang memberikan pinjaman turut memberikan kelas-kelas latihan untuk mula berniaga atau cara-cara terbaik untuk berniaga secara fisikal atau atas talian. Kalau kita lihat sekarang, ramai yang berniaga di atas talian. Tanpa ilmu, susah juga untuk perniagaan kita kehadapan. Latihan-latihan sebegini akan membantu wanita untuk “survive” dengan lebih baik diluar sana.

Bagi yang tidak minat berniaga atau mungkin tidak ada masa untuk berniaga, mungkin mereka lebih suka bekerja sambilan. Satu platform untuk menemukan wanita berniaga yang mencari pekerja dan wanita yang ingin bekerja boleh lah diwujudkan. Secara tidak lansung, kita sesama wanita boleh membantu satu sama lain.

Rumusannya:

1) Akan ada golongan wanita yang terpinggir dari budget 2021. Tiada manfaat diutamakan kepada golongan ini, ibu tunggal dan wanita bekerja makan gaji.

2) Geran khas patut diwujudkan bagi ibu tunggal dan golongan suri rumah untuk memulakan perniagaan.

3) Latihan perniagaan patut diberikan kepada golongan wanita yang ingin mulakan perniagaan.

4) Wujudkan platform padanan pekerja dan majikan/pemilik perniagaan untuk membolehkan kita sesama wanita saling tolong-menolong.- MalaysiaGazette

Fatin Fariza
Naib Ketua Pemuda Ikatan Malaysia

Fatin Fariza
Naib Ketua Pemuda Ikatan Malaysia