Rentas negeri dan daerah masih dikekalkan termasuk dalam negeri PKPB.

SHAH ALAM – Polis Selangor menerima 66,776 permohonan daripada orang ramai di negeri itu untuk mendapatkan kebenaran merentas negeri sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 18 Oktober lalu.

Bagaimanapun, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew, sebanyak 2,249 permohonan ditolak kerana memberi alasan yang tidak munasabah.

Beliau berkata, polis hanya membenarkan permohonan rentas negeri bagi tiga tujuan sahaja, iaitu urusan pekerjaan, kes kecemasan dan perubatan.

“Selain dari tiga kategori itu, permohonan merentas negeri akan ditolak,” katanya pada sidang media mengenai Op Covid-19 di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Jelas Muhammad Yazid, antara permohonan paling banyak diterima ialah musim perayaan Deepavali baru-baru ini, yang mana kerajaan menetapkan tidak ada pergerakan untuk menyambut perayaan itu di mana-mana negeri seluruh negara.

Muhammad Yazid Muhammad Yew
ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew

Ditanya IPD mana dalam Selangor menerima paling banyak permohonan untuk rentas negeri, beliau menjelaskan, Balai Polis Daerah Petaling Jaya merekodkan permohonan paling banyak setiap hari.

“IPD paling banyak menerima permohonan rentas negeri bagi harian ialah IPD Petaling Jaya, iaitu sebanyak 1,138 untuk semalam sahaja.

“Jumlah ini untuk harian. Kalau jumlah permohonan yang diterima daripada 18 Oktober lalu hingga semalam ialah sebanyak 37,753 permohonan,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, Polis Selangor akan terus menjalankan tugas pemantauan dan kawalan secara berterusan dalam menangani dan membendungi wabak Covid-19.

Justeru, beliau meminta orang ramai mengelakkan 3S iaitu tempat sesak, sempit dan sembang dalam jarak yang dekat.

Bagaimanapun, mereka hendaklah mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup hidung dan mulut ditempat awam jika bergejala atau tidak bergejala dan sentiasa duduk di rumah, kecuali keluar untuk urusan penting.

“Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mendaftarkan butiran diri sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau manual sebelum memasuki premis perniagaan bagi memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan pengesanan di kemudian hari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast