Kepimpinan Pas Kawasan Masjid Tanah selesai membuat laporan polis minta siasat pemilik akau Facebook Melaka State.

KUALA LUMPUR – Pas Kawasan Masjid Tanah, Melaka membuat laporan polis ke atas pemilik akaun Facebook Melaka State kerana dikatakan menghina Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Laporan dibuat di Balai Polis Masjid Tanah semalam, meminta pihak berkuasa menyiasat akaun Facebook berkenaan yang berniat jahat untuk menjatuh dan memalukan imej pemimpin tertinggi Pas di medium sosial.

Menurut Yang Dipertuanya, Imran Abdul Rahman, tanpa rasa malu dan segan pemilik akaun Facebook Melaka State memuatnaik poster Abdul Hadi yang diubahsuai dengan niat untuk mengaibkannya.

“Mereka ini golongan yang tidak bertanggungjawab, bankrup idea, tidak tahu cara sebenar untuk bersaing dalam politik sehingga terpaksa menggunakan cara yang jijik.

“Kita tahu mereka ini tidak mewakili suara rakyat, tetapi rakyat pun marah dengan tindakan tidak bermaruah ini.

“Oleh itu, kami membuat laporan polis untuk pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik akaun ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Turut sama mengiringi beliau ialah Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Masjid Tanah, Asri Shaik Abdul Aziz dan Naib Yang Dipertua Pas kawasan, Arshad Md. Som.

Selain, Abdul Hadi, pemilik Facebook Melaka State turut menghina Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Imran berharap, laporan itu memberi peringatan kepada pemilik akaun media sosial lain supaya berhati-hati dengan setiap hantaran dilakukan.

Ini kerana, katanya, sesetengah isu yang dimuatnaik itu ada kalanya telah menimbulkan fitnah kepada orang lain sehingga reputasinya terjejas, selain merosakkan keharmonian serta keamanan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.