KUALA LUMPUR – Seramai 381 individu ditahan polis dalam Ops Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan seramai 96 individu.
Katanya, yang tidak memakai pelitup muka juga ditangkap melibatkan 80 orang, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (57), rentas negeri, daerah PKPB tanpa kebenaran (33) dan lain-lain (46).
Dari jumlah itu, 377 individu telah dikenakan kompaun, manakala empat lagi direman.
Dalam Operasi Benteng pula, katanya, anggota keselamatan yang mengawal sempadan negara telah menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas kesalahan memasuki negara ini secara haram dan tanpa dokumen perjalanan yang sah.
“Dalam operasi itu juga pasukan keselamatan turut menahan tiga penyeludup serta merampas sembilan kenderaan darat dipercayai digunakan untuk menyeludup masuk PATI.
“Mereka ini ditahan di sekatan jalan raya (SJR),” katanya yang bertegas kerajaan tidak kompromi dengan mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram,” katanya dalam kenyataan media hari ini. – MalaysiaGazette
















