KUALA LUMPUR – Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah
Kementerian Pengangkutan Malaysia akan menyiasat insiden pesawat ringan yang melakukan pendaratan cemas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Kulai, Johor pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Kapten Chester Voo berkata, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan
bahawa sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 35 Bonanza telah melakukan pendaratan kecemasan di lebuh raya PLUS berkenaan pagi tadi.

“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor menerima panggilan pada pukul 10.40 pagi dari juruterbang pesawat yang memohon untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru oleh kerana menghadapi masalah teknikal.

“Pesawat persendirian yang dikendalikan oleh Premier Air Singapore itu berada dalam penerbangan dari Senai ke Melaka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua juruterbang warganegara Singapura yang mengendalikan pesawat berkenaan dilapor berada dalam keadaan stabil dan pesawat telah dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas di lebuh raya.

Tambah beliau, pasukan mencari dan menyelamat juga telah menyelesaikan semua tugas-tugas yang diperlukan.

Terdahulu, media melaporkan, juruterbang dan seorang penumpangnya selamat apabila pesawat ringan yang dikendalikannya berjaya membuat pendaratan cemas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Kulai, Johor pagi tadi.

Kejadian di Kilometer 47.9 PLUS arah selatan sebelum susur Plaza Tol Sedenak itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi tadi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pesawat ringan mendarat di lebuh raya PLUS