Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Apa sahaja hubungan atau penyatuan yang melibatkan UMNO dengan parti lain perlu dibuat berasaskan sebab yang tulen dan ikhlas.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, penyatuan itu bukan kerana kesesuaian politik segelintir pihak yang hendak mengambil kesempatan atas keadaan semasa.

Mengenai hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) katanya, pendirian beliau sejak Langkah Sheraton pada Mac lalu lagi, mahu parti berwaspada dan berhati-hati.

Ini kerana, penyatuan yang dibuat berasaskan kesempatan semasa tanpa keikhlasan biasanya tidak akan berkekalan dan akan merugikan.

“Ramai akar umbi UMNO hingga pimpinan tertinggi yang berpengalaman mahu pun yang segar nampak akan hal ini, sebab itu mereka juga tidak bersetuju dengan penyatuan bersama Bersatu.

“Oleh itu, jika hubungan dengan Bersatu ini dipaksa juga, ia akan memecahbelahkan UMNO dari dalam.

“Apa guna kita bergabung dengan orang lain jika disebabkan gabungan itu rumah tangga kita sendiri akan berpecah belah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini, yang mencadangkan pembentukan suatu grand coalition (gabungan besar) melibatkan 12 atau lebih parti sealiran, sambil mengecam politik personaliti yang menyukarkan penyatuan ummah.

Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, sudah terlalu lama politik negara berlegar sekitar dua hingga tiga personaliti dan bersifat mempertahan atau menentang individu.

Mengulas lanjut, Isham berkata, walaupun pandangan Annuar akhir-akhir ini banyak berbeza dengan pandangannya terutama mengenai hubungan UMNO dengan Bersatu, beliau masih menganggap Menteri Wilayah Persekutuan itu sebagai kawan.

Kata beliau, jika sebab penyatuan dengan Bersatu kerana kononnya untuk menang bergaya dalam PRU-15, pandangan seperti itu jauh tersasar sebab jika UMNO berpecah belah, parti akan kalah sebelum pun pergi berperang.

“Bagaimana kita mahu pergi berperang dan berjuang bermatian jika askar kita di lapangan tidak percaya atau was-was kepada motif dan arah tujuan peperangan tersebut?

“Apabila ini berlaku, kita tidak boleh menang. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran dan yang diimpi cabut lari, yang di rumah makan diri.

“Tambahan pula saya dimaklumkan, Bersatu telah menyasarkan untuk bertanding di banyak kawasan UMNO. Kawasan ini adalah kawasan yang kita kalah pada PRU-14 lalu,” katanya.

Namun begitu, kata beliau, kebanyakan kawasan itu adalah kerusi tradisi UMNO yang dimenangi banyak kali dalam PRU sebelum PRU-14.

Ada juga kawasan lompat yang UMNO tidak pernah kalah pun, namun akan terpaksa (atau dipaksa) beri laluan kepada pelompat parti dalam Bersatu.

“Biasanya, dalam apa-apa peperangan atau perjuangan, jika kita kalah di kawasan atau kubu, kita akan cuba mendapatkannya kembali terutama jika kita hanya kalah sekali sahaja,” katanya.

Tetapi, kata Isham, jika parti memberikan laluan kepada Bersatu begitu sahaja di kawasan berkenaan, belum apa-apa lagi UMNO telah mengangkat bendera putih dan dengan mudah menyerahkan kubunya kepada pihak yang sebelum ini menentang parti.

Tegasnya, ini bukanlah suatu strategi atau keputusan yang waras atau bijak.

“Sebab itu pada hemat saya, kita perlu meneliti betul-betul cadangan gabungan besar ini secara mendalam, tidak hanya melihat pada atas permukaan atau mengikut-ngikut apa yang pihak lain buat.

“Kerana jika kita silap, UMNO akan berpecah dan jatuh, dan jika UMNO terkubur, akan terlunjurlah jua satu faktor besar dalam perjuangan orang-orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. umno menggunakan kepentingan diri melampau. bukankah kalau bersatu menang pun samalah umno juga. itulah persatuan dan perpaduan. kalau masih pentingkan diri sendiri tak payahlah buat pakatan nasional itu. inilah kata pas. ketika nyawa2 ikan semuanya ok. bila dah boleh bernafas kembali mulalah tak sedar diri.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.