Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA– Sebanyak 1,884 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengahari tadi, sekaligus mencatatkan jumlah harian yang tertinggi setakat ini.

Selangor merupakan negeri tertinggi yang mencatatkan jangkitan positif tertinggi iaitu 1,203 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah berkenaan Kluster Teratai merekodkan pertambahan tertinggi iaitu 1,067 kes.

“Kluster ini menunjukkan peningkatan kes mendadak sejak akhir-akhir ini. Sehingga 23 November 2020, terdapat 2,524 kes positif bersamaan 43.8 peratus yang telah dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 yang telah disaring. Sebanyak 1,330 sampel adalah negatif dan 1,913 masih menunggu keputusan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes-kes dalam kluster ini terdiri daripada 164 wargangeara dan 2,360 bukan warganegara berumur di antara 2 hingga 68 tahun yang kebanyakannya pekerja-pekerja kilang di kawasan Meru, Klang.

Untuk rekod, sejak 17 November yang lalu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan di sekitar kawasan asrama pekerja dan rumah-rumah pekerja untuk syarikat Top Glove yang melibatkan Kluster Teratai ini.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 56,659 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 13,842 kes.

Mengulas lanjut, Hisham berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, dua merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,882 kes adalah merupakan penularan Covid-19 dalam negara.

Tambah beliau sebanyak 289 kes di Sabah seterusnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 196 kes bersamaan 10.4 peratus.

Dalam pada itu seramai 115 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 48 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat dua kematian hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata 883 kes telah pulih sepenuhnya direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). -MalaysiaGazette