Rina Harun

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluaskan Program Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok ke seluruh negara sebagai usaha mengelak remaja menjadi mangsa aktiviti berkaitan tembakau.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sehingga kini sebanyak 24,290 rumah telah didaftarkan menerusi program itu dan kempen bebas asap rokok sekunder akan digiatkan lagi dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

Program itu perlu bermula dari rumah dan kementeriannya menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan garis panduan sosial masalah merokok dalam kalangan remaja.

“Matlamat kita adalah untuk menjadikan remaja sihat tanpa amalan merokok, sekaligus menjadi ejen perubahan tingkah laku kepada ibu bapa.

“Setakat ini, remaja berusia 13 hingga 24 tahun diberikan latihan kemahiran hidup termasuk program anti merokok yang disampaikan dalam bentuk ceramah dan perbincangan kecil,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen hari ini.

Menjawab soalan tambahan Fuziah Salleh (Kuantan-PKR), Rina berkata, kementeriannya mengalu-alukan sebarang cadangan dari ahli Parlimen bagi menjayakan usaha mengekang remaja dari terdedah asap rokok sekunder.

Katanya, selain terdedah dengan asap rokok di luar, remaja juga berdepan dengan gejala itu dari rumah, yang mana ibu atau bapa mereka merokok.

“Buat masa ini, belum ada sebarang insentif diberikan tetapi langkah yang kita ambil ialah dengan mengehadkan aktiviti merokok dalam kalangan orang dewan selain memperluaskan program rumah bebas tanpa asap rokok.

“Sebagai ibu bapa, saya ingatkan, jika kita merokok, yang memberi kesan ialah anak-anak kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sebarang bentuk ASAP dari apa sumber pun semuanya menyumbangkan kepada pencemaran dan pemanasan golbal!

    Katakan tidak kepada ASAP, jom selamatkan planet kita!

Comments are closed.