Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Tidak ada jalan penyelesaian lagi untuk menyelesaikan ketidaktentuan politik Malaysia ketika ini, melainkan diadakan pilihan raya umum (PRU) semula.

Demikian jelas Ahli Parlimen Pangerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam tulisannya yang disiarkan menerusi blog beliau, hari ini.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, selagi tidak diadakan PRU, politik Malaysia akan terus berada dalam keadaan tidak stabil.

“Satu-satunya jalan untuk politik kembali normal adalah dengan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pembubaran Parlimen yang akan membawa kepada pilihan raya umum.

“Dalam hal ini, saya senada dengan seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar semua parti politik mengetepikan perbezaan demi rakyat dan bersatu untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat kerana ia adalah mandat yang keramat,” katanya.

Azalina berkata, sepanjang tempoh penularan Covid-19 ini, sebanyak 13 negara sudah mengadakan pilihan raya termasuk Singapura.

Malah, katanya, jumlah jangkitan Covid-19 antara tiga atau empat digit di republik itu sebelum pilihan raya 10 Julai lalu, turun kepada satu atau dua digit sejak akhir Ogos.

Beliau juga mencadangkan, tiga undang-undang baharu digubal bagi memastikan Malaysia tidak terjerumus dalam ketidakstabilan dan pergolakan politik.

“Tiga undang-undang itu ialah untuk mengawal lompat parti, tataurus parti-parti politik dalam gabungan kerajaan serta sebuah akta menentukan tempoh penggal kerajaan seperti yang digubal di United Kingdom (UK) pada 2011.

“Mungkin hanya apabila keseimbangan politik dikembalikan dan kawal selia yang dicadangkan itu ada, barulah ahli politik boleh mengalihkan tumpuan mereka kepada apa yang diharapkan daripada mereka, iaitu mentadbir dengan bertanggungjawab.

“Sehingga itu, Malaysia akan terus mengharungi masa terdesak dengan langkah yang putus asa,” katanya.

Jelas beliau, undang-undang sama seperti Akta Tempoh Penggal Parlimen di UK akan menetapkan bahawa usul percaya akan membawa kepada pilihan raya.

Azalina turut mencadangkan tiga undang-undang baharu itu digubal sekarang, ketika Parlimen masih bersidang.

Sementara itu, media melaporkan, pandangan Azalina itu muncul ketika Dewan Rakyat dijadual mengundi Belanjawan 2021 Khamis ini, yang akan menguji keyakinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Undian itu dibuat ketika majoriti Muhyiddin di Dewan Rakyat semakin tipis, dengan 112 kerusi berbanding 108 kerusi di blok pembangkang.

Dua kerusi kosong susulan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Seri Liew Vui Keong (Batu Sapi-Warisan) dan Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Gerik-Barisan Nasional).

Ahli Parlimen Tengku Razaleigh Hamzah dari BN pula mengumumkan tidak akan terlibat dengan perbahasan Belanjawan 2021 selagi keabsahan kerajaan Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) tidak diputuskan terlebih dahulu.

Tanpa sokongan veteran UMNO itu, Muhyiddin hanya ada 111 sokongan untuk meluluskan Belanjawan 2021, dengan tanggapan beliau mempunyai dukungan padu semua baki 38 Ahli Parlimen dari UMNO. – MalaysiaGazette