Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KEMBALI sejenak fikiran kita terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada semua ahli Dewan Rakyat agar meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021. Yang pastinya, titah Agong itu bukanlah berbaur ajakan sokongan politik, sebaliknya ia manifestasi yang lebih besar dan tuntas.

Ruang skop pemikiran dan keprihatinan Agong sudah tentu tidak jumud dan sekadar memandang elemen politik kepartian, namun selaku Ketua Negara ini, baginda menginginkan sebuah budaya atau amalan baharu pelaksanaan politik matang di setiap diri mereka bergelar Yang Berhormat.

Suka atau tidak, UMNO sudah umumkan genjatan politik beberapa hari sebelum titah Agong disiarkan kepada umum. Demi rakyat, UMNO mengundur setapak dengan tidak menuntut beberapa kehendak dan telah mengambil keputusan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional.

Maaf bercakap, sepatutnya lain-lain parti politik yang ada juga turut perlu melakukan genjatan politik sebegini. Pas, PKR, PPBM, MCA, MIC, PRS, GPS, Warisan, masing-masing mempunyai pemimpin yang menghormati Yang di-Pertuan Agong melebihi yang lain, justeru patut untuk mereka juga mengambil langkah membuat genjatan politik.

Janganlah bersaing-saing dan diam-diam memancing Yang Berhormat kumpul jumlah kerusi.

Namun dalam soal ini, memang kita tak mengharapkan apa-apapun dari DAP dan ‘anak susuannya’, Parti Amanah Negara. Dua parti politik ini mungkin boleh kita sekadar lihat dan abaikan sahaja. Ada tidak menambah, tiada tidak berkurang.

Jika benar ikhlas genjatan politik UMNO ini, kenapa masih ada
‘serangan-serangan anak’ terhadap Kerajaan Perikatan Nasional?
UMNO telah tunjuk kematangan berpolitik sebenarnya. Serangan,
kritikan dan cadangan yang dilontarkan pihak UMNO terhadap
Belanjawan 2021 adalah sebagai nilai tambah dan pemurnian terhadap idea-idea kerajaan.

Cara memandang kita harus diubah agar lebih positif. Ia bukan suatu bentuk tekanan kepada kerajaan agar jentera kerajaan makin sukar bekerja, tetapi ia petanda sebuah kematangan ahli-ahli politik yang ada. Kebebasan bersuara dimanfaatkan untuk rakyat. Kritikan membina tidak sama dengan menghentam. Sesuai dengan aspirasi ‘suara UMNO suara rakyat’.

Sedar tak kita bahawa cabaran ini akan berkekalan panjang. Ia kesan daripada Covid-19 terhadap ekonomi negara, ekonomi mikro, ekonomi keluarga dan kebanyakan individu tertentu. Tidak siapa boleh nafikan, pengangguran kian bertambah di sekeliling kita. Peluang kerja baharu tak banyak sangat setakat ini. Justeru, wajarlah pekerja asing digantikan oleh pekerja tempatan.

Pekerja tempatan pula janganlah memilih pekerjaan pula. Dalam saat pandemik ini, ambil sajalah apa yang ada terhidang di hadapan kita. Suatu ketika nanti, setelah semua kembali pulih, pasti kita akan dapat yang setaraf dengan kelayakan dan pengalaman masing-masing.

Sebab itu makin ramai yang telah bersedia berpeluh dan menyinsing lengan, asalkan upah yang diterima adalah munasabah.

Hakikatnya, ekonomi kita tidak boleh pulih sekelip mata. sepanjang 2021 kesan Covid-19 masih ada dan akan menyebabkan semua pihak terkesan. Sekarang pun semua pihak sudah dapat mengubah suai perniagaan, manakala ada yang setengah itu gulung tikar.

Dalam situasi penuh cabaran ini, Ketua Negara antara tempat untuk kita letakkan pelbagai harapan. Kita pernah meletakkan kebijaksanaan Agong ketika Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri kali kedua. Kita juga meletakkan banyak harapan kepada baginda sekarang ini, sesuailah amanah yang dipikul oleh para Sultan dan Raja Raja Melayu untuk menaungi tanah air dan rakyat jelata.

Sesungguhnya ini adalah tanggungjawab yang digalas Yang di-Pertuan Agong adalah anugerah yang selaras ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW.

IBN SAAD
Kg Baru, Kuala Lumpur