Poster palsu kononnya Annuar telah lompat parti menyertai Bersatu Bahagian Ketereh tular di medium sosial dan aplikasi Whatsapp sejak semalam.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Demikian tular satu poster, kononnya dari Bersatu Bahagian Ketereh yang mengalu-alukan kemasukan Menteri Wilayah Persekutuan dalam parti berkenaan.

Poster berlatarkan warna merah dengan memapar gambar Annuar bersama Ketua Bersatu Bahagian Ketereh, Senator Dr. Mohd Radzi Md. Jidin itu mula disebarkan secara meluas menerusi laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan aplikasi Whatsapp sejak malam tadi.

“Selamat datang kepada Tan Sri Annuar Musa ke dalam keluarga besar Bersatu Ketereh. Semoga penghijrahan jihad Tan Sri ke dalam PPBM, membawa seribu satu makna kepada mujahid dan mujahidah PPBM Ketereh,” demikian petikan tulisan pada poster berkenaan.

Sementara itu, Annuar ketika memberi maklum balas berhubung poster itu berkata, beliau seronok melihat poster palsu yang dibuat pihak tertentu itu.

“Seronok juga tengok poster palsu yang dibuat pihak tertentu (yang saya tahu sumbernya). Mereka ini golongan yang percaya fitnah boleh menjayakan mereka. Saya tidak percaya fitnah boleh membawa kita kepada kejayaan.

“Saya memilih untuk berkata benar dan berterus terang. Mungkin saya mudah disalah mengertikan. Tidak mengapa. Kebenaran kadang kala memerlukan masa.

“Saya faham semua orang ikhlas nak UMNO berjaya, cuma cara mungkin berbeza. Kita raikan perbezaan itu. Saya tidak semestinya betul,” katanya menjawab fitnah itu menerusi hantaran dalam Facebooknya, hari ini.

Annuar Musa

Menurut Annuar, hatinya kuat menyatakan, UMNO mesti perkasakan politik taawun iaitu kerjasama dan taayush, iaitu ujud bersama sebagaimana Nabi Muhammad SAW mengamalkannya.

UMNO juga, katanya, perlu menjuarai penyatuan ummah, perlu mempertahan kuasa yang berada di tangan kelompok teras, iaitu orang Melayu pribumi dan Bumiputera.

“Pada masa sama, mengekalkan kebijaksanaan Melayu untuk taayush dalam masyarakat majmuk.

“Bersederhana. Toleran dan memimpin ummah. Ini juga yang diamalkan di Daulah Islamiah yang pertama Madinatul Munawwarah oleh Baginda Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau yang Ahli Parlimen Ketereh berkata, berunding sesama Islam itu wajib dan bermuafakat itu pula suatu kebijaksanaan, bukan kelemahan.

“Kita kini mengendong kuasa selepas 22 bulan diuji dengan kejatuhan. Allah selamatkan kita dengan cara yang tak terfikir pun oleh kita.

“Dengan hanya 39/222 kerusi, kita kembali ditampuk kuasa. Ia satu rahmat yang amat besar. Saya doakan agar kita tidak menjadi “yang dikejar tak dapat, yang dikendong jatuh berciciran,” katanya.

Annuar turut mengakui ada pihak memintanya mengulas kembali terjahan dari rakan politik terhadapnya, khusus dari selatan.

Namun, katanya, beliau tidak gemar serang menyerang terutama sesama sendiri tambahan pula beliau tiada dendam pada sesiapa.

“Walaupun rasa sedikit terhina, tidak mengapalah, sudah adat kita berpolitik. Lagi pun mereka itu individu yang jauh lebih hebat dari saya, yang dikira sudah ‘mati’ ini.

“Saya percaya mereka jujur dan akan terus menghidupkan perjuangan parti. Saya kekal dengan cara saya. Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette