Joe Biden. foto Reuters

DETROIT – Joe Biden diberi kebenaran secara rasmi untuk memulakan peralihan kuasa ke White House selepas Michigan mengesahkan kemenangan beliau di negeri itu.

Dengan perkembangan baharu itu, harapan Presiden Donald Trump untuk mempertahankan kedudukannya hampir tertutup.

Pentadbiran Perkhidmatan Awam (GSA) Amerika Syarikat (AS) – sebuah agensi bebas telah memaklumkan kepada Biden bahawa beliau boleh memulakan proses peralihan kuasanya.

Peralihan kuasa secara rasmi adalah pada 20 Januari depan.

Dalam ciapannya, Trump berkata, Pentadbir GSA, Emily Murphy dan pasukannya patut ‘melakukan apa yang perlu dilakukan berkaitan dengan protokol awal dan saya telah memberitahu pasukan saya untuk melakukan hal yang sama.”

Langkah yang dimaksudkan oleh GSA itu ialah pasukan Biden akan diberi dana persekutuan dan pejabat rasmi untuk melakukan peralihannya dalam dua bulan akan datang.

Ini juga membuka jalan bagi Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris untuk menerima taklimat keselamatan nasional secara berkala yang juga diterima oleh Trump.

Kenyataan peralihan Biden mengatakan pertemuan bermula dengan pegawai persekutuan mengenai tindak balas Washington terhadap wabak koronavirus, bersama dengan perbincangan isu keselamatan negara. – MalaysiaGazette