Iqbal Zain Al Jauhari

KUALA LUMPUR – Sekretariat Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR) melahirkan kebimbangan suara NGO itu dengan pelbagai polemik politik menjelang penggulungan Belanjawan 2021.

NGO itu bimbang, jika situasi berkenaan tidak dibendung dan dikawal, ia bakal menjerumuskan negara dan rakyat dalam krisis ekonomi serta tekanan hidup yang semakin parah.

Justeru, jurucakap MAMPIR, Iqbal Zain Al Jauhari berkata, pihaknya terpanggil untuk menyatakan suara hati agamawan dari pelbagai pertubuhan ulama, madrasah, pendakwah serta NGO Islam berkenaan dengan perkembangan tidak sihat itu.

Katanya, Sekretariat MAMPIR menuntut lima perkara sebagai tanda solidarity keprihatinan NGO itu kepada pihak berkenaan.

“Pertama, kami mohon semua wakil rakyat dan pemain politik untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua pihak hentikan permainan politik dan memberi fokus memastikan Belanjawan 2021 berjalan lancar.

“Kedua, bermuhasabah dan kembali meletakkan keutamaan yang paling utama kepada kepentingan serta kebajikan rakyat dan negara dalam isu Belanjawan 2021 ini.

“Ketiga, kami menuntut agar semua ahli Jemaah Menteri dan wakil rakyat di Parlimen membuktikan ketulusan dalam membela rakyat dengan sanggup toleransi dan korbankan agenda parti atau peribadi bagi meluluskan Belanjawan 2021 demi kestabilan negara dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Iqbal Zain berkata, tuntutan keempat Sekretariat MAMPIR ialah Dewan Rakyat meneliti secara tuntas dan holistik pandangan kedua pihak serta juga pakar dalam bidang yang bebas sebagai semak imbang dalam meluluskan Belanjawan 2021 yang benar-benar efektif dan efisien.

Tuntutan terakhir, katanya, pemimpin dan wakil rakyat harus mengutamakan prinsip “pemimpin sanggup bersusah demi rakyat” sebagai tanda kepimpinan melalui teladan dengan tidak membiarkan rakyat menentukan nasib masing-masing menerusi sumber atau cara sendiri.

“Selepas Belanjawan 2021 diluluskan, semua pihak termasuk Institusi Raja-Raja, ulama, pemimpin dan komuniti masyarakat digembleng bagi mengukuhkan dana sosial melalui pemanfaatan instrumen zakat, wakaf, sodaqah, hibah dan lain-lain yang sedia ada dalam negara bagi meringankan bebanan rakyat.

“Kami, pihak agamawan dan aktivis juga menyatakan kesediaan bersama rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi dan pandemik khususnya dalam aspek pembinaan spiritual, mental, fizikal dan kemanusiaan,” katanya.

Beliau menyatakan, MAMPIR amat menjunjung kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong yang sudi menitahkan agar segala perbalahan politik dihentikan dan menyatakan agar mereka mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara agar Belanjawan 2021 diluluskan. – MalaysiaGazette