Enam individu diiring Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2020.

ISU rasuah yang membabitkan penjawat awam makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Ini berikutan penahanan seramai 50 individu dalam Ops Selat membabitkan 28 pegawai imigresen, 17 agen pekerja asing dan 5 orang awam, yang mana sekali lagi memaparkan betapa tempangnya sistem pengawalan rasuah dalam negara terutamanya dalam perkhidmatan awam.

Isu rasuah bukan isu baharu dalam negara kita. Dari peringkat pimpinan tertinggi negara sehinggalah kepada masyarakat awam, tidak ketinggalan untuk turut terlibat dengan rasuah sama ada melibatkan jumlah yang besar ataupun sedikit.

Pengawalan rasuah bermula daripada rakyat

Menurut Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dalam Bicara Bina Negara anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia pada September yang lalu, walau berapa pun jumlah rasuah yang terlibat, sama ada sedikit atau banyak, perbuatan rasuah mampu memberi kesan yang besar kepada integriti sesebuah negara.

Situasi negara hari ini amat memerlukan kita untuk membina satu budaya baharu yang lebih mantap dari segi herdikan sosialnya. Apabila penerimaan masyarakat terhadap perbuatan rasuah dan salah laku berada dalam tahap paling minima,  di mana masyarakat totally against atau menolak langsung mereka yang melanggar  terutamanya yang melibatkan isu-isu integriti.

Budaya masyarakat yang sentiasa mengherdik perbuatan salah laku akan mampu menyokong usaha kerajaan dalam menghapuskan rasuah terutamanya yang melibatkan mereka yang mempunyai kuasa dan jawatan dalam masyarakat.

Rasuah membawa kemerosotan sosial

Tidak dinafikan, peranan penjawat awam sebagai jentera pembangunan sesebuah negara amat penting dalam memastikan dasar kerajaan dapat dilaksana dan manfaatnya dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Walau bagaimanapun, penjawat awam juga merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk terdedah dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, terutamaya mereka di peringkat pelaksaan keputusan dan perolehan kerajaan.

Dalam mendepani cabaran kepimpinan dan perubahan kerajaan yang tidak menentu hari ini, kesetiaan serta sikap amanah dan tanggungjawab para penjawat awam amat ditagih bagi memastikan kelestarian pembangunan negara terus berjalan secara efektif.

Oleh itu, amat penting adanya integriti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam kerana ia menjadi penentu kepada kredibiliti dan reputasi perkhidmatan awam dan negara. Integriti amat penting dan perlu diperkasakan bagi menjamin tadbir urus negara yang baik dan tersusun.

Rasuah tidak sekadar membawa kepada kerugian negara, malahan ia memberi kesan kepada kemerosotan sosial dan mampu menjejaskan imej sesebuah negara. Isu rasuah harus ditangani secara sistematik dan menyeluruh bagi mengelakkan kerugian besar kepada negara.

Tangani rasuah secara serius dan menyeluruh

Seharusnya, pihak kerajaan harus segera dalam melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di mana pelan khusus ini dibangunkan bagi menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti serta tadbir urus untuk tempoh lima tahun akan datang. Pelaksanaan pelan ini harus dipertimbang dan dilaksanakan dengan lebih serius dan memerlukan komitmen serta kerjasama dari semua pihak agar perlakuan rasuah dapat dibendung dengan menyeluruh.

Disamping itu, peranan semua rakyat di segenap lapisan masyarakat untuk bangkit dan kembali peka, membenci dan memerangi perlakuan rasuah dalam masyarakat. Katakan “TIDAK” kepada perlakuan rasuah dan “TIDAK” kepada pemimpin yang tidak berintegriti demi menyelamatkan masa depan negara tercinta. Kuatkan herdikan sosial dalam menolak rasuah.

Moga cita-cita dan harapan untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang ZERO RASUAH tidak hanya tinggal sebagai mimpi.

Nik Khatijah Nik Mud
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia

1 Komen

  1. Alahai Orang IKRAM,

    Tulis berjela-jela tentang rasuah. Tapi takde suatu pun menyentuh tentang primary prevention.

    Nak lawan rasuah senang sahaja.

    1. Jadikan keperluan asas itu mudah bagi semua golongan sehinggakan tiada lagi jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin.
    2. Ini boleh dilakukan dgn adanya GST. GST orang takkan dapat lari dari bayar cukai.
    3. Dengan adanya GST, orang kaya akan biaya orang Miskin dalam memudahkan mereka mendapat akses kepada keperluan asas kehidupan.
    4. Keperluan asas bukan sahaja bantuan perumahan, api dan air, tetapi ia juga merangkumi akses kesihatan yang berkualiti dan peluang pembelajaran hingga peringkat universiti
    5. Terjadinya rasuah ialah kerana keperluan asas sukar dicapai dan akses kepada quality healthcare dan education hanya berlegar dalam kumpulan elit.
    6. Budaya elit inilah yang perlu kita hapuskan.
    7. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan utk memastikan jurang perbezaan antara kaya dan miskin dapat dihapuskan.
    8. Strategi ini sahajalah yang dapat membendung rasuah.

    Wassalam alaikum.
    Mr. Kama
    Fellow Pembedahan Klinikal.
    Oxford Univ. Hospital.

    Bila keperluan asas mudah

Comments are closed.