Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 penting kepada rakyat dan pembangunan negara bagi menghadapi krisis pandemik Covid-19 yang begitu kritikal dalam sejarah dunia.

Ketua Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Ahli Parlimen perlu sepakat memastikan Akta Perbekalan itu diluluskan demi rakyat dan pembangunan negara.

“Ya, hari ini adalah pengundian di Dewan Rakyat bagi Akta Perbekalan yang membawa kepada kelulusan belanjawan negara sepanjang tahun hadapan.

“Akta yang memerlukan kepada kelulusan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini adalah kemuncak kepada pengawalan konflik dan krisis negara.

“Maka, kesepakatan dan kemuafakatan semua Ahli Parlimen amat diperlukan bagi memastikan akta itu diluluskan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pengundian untuk meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar yang dijadual selepas penggulungan oleh Kementerian Kewangan menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sekiranya masa mengizinkan, undian Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 akan dijalankan sejurus selepas baki sembilan menteri membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing yang dijadual selesai hari ini.

Menurut Khairil Nizam, sekiranya akta itu tidak mampu mencapai kata sepakat, negara dan rakyat akan semakin tertekan dalam berhadapan dengan kesan pandemik Covid-19.

Kata beliau, pindaan yang dipohon dalam perbahasan Ahli Parlimen perlu diteliti oleh kerajaan agar belanjawan negara benar-benar memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.

“Perpaduan akan tercapai sekiranya kita berjiwa besar dan bertolak ansur menerima perubahan demi kepentingan negara dan rakyat.

“Oleh itu, kami merayu kepada semua Ahli Parlimen agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan supaya kita sama-sama dapat memacu bersama untuk berhadapan dengan krisis ini dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukan sengketa politik yang tidak berkesudahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast