KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen UMNO perlu berani mengambil sikap tanpa tunduk kepada desakan Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Belanjawan 2021 atas faktor survival politik semata-mata.
Ketua Pemuda Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, meneliti kenyataan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar malam tadi, menggambarkan amat sukar bagi kerajaan PN memastikan Belanjawan 2021 lulus dengan sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO.
Ini berikutan peruntukan dalam Belanjawan 2021 untuk menghidupkan semula JASA dianggap sebagai tidak masuk akal.
Menurut beliau, sewaktu UMNO mengetuai kerajaan, parti itu tidak pernah meluluskan peruntukan sebesar RM85 juta.
“Ahli Parlimen UMNO tahu mengenai peranan JASA selama ini menjadi agensi propaganda kerajaan serta kebimbangan JASA akan digunakan untuk memadamkan UMNO dan menggerakkan akar umbi Parti Bersatu.
“Malah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berulang kali mengkritik kerajaan PN yang enggan meluluskan pengeluaran wang RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP untuk semua pencarum.
“Meskipun Pengerusi KWSP telah mengeluarkan kenyataan berhubung pengeluaran simpanan Akaun 1 secara bersasar melalui i-Sinar, namun Najib terus konsisten mengkritik inisiatif kerajaan tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Shazni Munir, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga telah memberi gambaran jelas akan menolak Belanjawan 2021 selepas tular surat beliau kepada Speaker Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam surat itu, Ku Li menyatakan tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan kali ini.
“Ini pastinya satu tamparan hebat kepada kerajaan PN apabila Penasihat UMNO sendiri tidak memperakui kerajaan yang didukung oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dengan semua pendirian ini, Ahli-ahli Parlimen UMNO perlu menilai semula kewajaran sokongan mereka terhadap kerajaan PN.
“Jangankan di peringkat persekutuan UMNO seperti melukut di tepi gantang, di negeri yang didominasi oleh Parti Bersatu dan Pas, adakah UMNO dilayan sebagai rakan kongsi yang setara?,” soal beliau.
Beliau berkata, dengan sikap pekak badak PN terhadap tuntutan rakyat, inilah masa terbaik untuk UMNO menolak Belanjawan 2021. – MalaysiaGazette
















