Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Lokaliti Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai tengah malam esok.

Pelaksanaan PKPB dibuat berikutan situasi semasa Covid-19 di lokaliti itu menunjukkan peningkatan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan sebanyak 672 ujian saringan ke atas penduduk dan 56 kes direkodkan positif Covid-19.

Dalam pada itu, kata beliau, masih terdapat 302 sampel saringan yang masih menunggu keputusan.

“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor bermula 29 November sehingga 13 Disember ini.

“PKPB ini akan melibatkan seramai 16,300 penduduk di kawasan seperti Bandar Putera Indah, Lorong 7 hingga 10, Batu 7 dan Kampung Mohd Nor,” katanya pada sidang media harian di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau menyatakan, pelaksanaan PKPB itu bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar, selain untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan berkenaan.

Kata Ismail Sabri, SOP PKPB itu sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan untuk maklumat lanjut orang ramai boleh merujuk laman sawang MKN.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, penamatan PKPB bagi daerah Kuching, Sarawak mulai hari ini.

Penamatan itu berikutan KKM mengesahkan baki kes aktif Covid-19 di daerah itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPB di daerah Kuching, Sarawak pada 27 November 2020 seperti mana yang dijadualkan,” katanya. – MalaysiaGazette