Dr. Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mengaktifkan semula Majlis Mineral Negara (MMN) berikutan banyak sumber mineral semula jadi di negara ini yang belum diterokai.

Menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, mesyuarat pertama MMN dijangka diadakan pada akhir tahun ini.

“MMN akan bertindak sebagai platform tertinggi melibatkan keahlian Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, di mana secara khususnya akan menjadi platform untuk penyelarasan dasar dan menangani isu berkaitan pembangunan industri mineral di negara ini.

“Pada masa sama, kementerian ini juga sedang membangunkan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) yang merupakan satu dasar utama bertujuan untuk meningkatkan daya saing industri mineral dalam setiap rantaian nilai.

“Pelan ini juga akan menggariskan strategi dan pelan tindakan untuk menggerakkan industri sokongan yang mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan mengurangkan pengeksportan bahan mineral serta batuan secara mentah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, menurut Dr. Shamsul Anuar, hala tuju baharu pembangunan industri mineral negara akan menekankan kepada kelestarian dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

Oleh itu, beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah dibangunkan dimulai dengan dokumen SOP Bauksit Negeri Pahang, Terengganu dan Johor telah digunapakai.

Pada masa ini, kata beliau, kementeriannya sedang memuktamadkan SOP Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).

“SOP ini menggariskan prosedur dan amalan terbaik aktiviti perlombongan NR-REE yang merangkumi tiga fasa iaitu pra, semasa dan pasca perlombongan.

“KeTSA juga dalam tindakan melaksanakan pengezonan kawasan sumber mineral agar industri ini dapat dibangunkan tanpa menjejaskan komitmen 50 peratus daripada keluasan tanah negara yang dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok,” katanya. – MalaysiaGazette