Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor menawarkan hadiah RM20,000 kepada orang ramai yang melaporkan aktiviti jenayah alam sekitar melibatkan pencemaran sungai di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminudin Shari berkata, hadiah itu akan diberikan sehingga tertangkap pihak tidak bertanggungjawab berkenaan sehingga ke pendakwaan.

Kata beliau, kerajaan negeri menyedari penglibatan orang awam menjadi mata dan telinga dalam mencegah aktiviti jenayah alam sekitar itu sangat penting.

“Kita kena sama-sama menjaga dan memelihara sumber air kita agar tidak dikhianati pihak tidak bertanggungjawab dan menyusahkan rakyat.

“Oleh itu, maklumat berterusan dan berguna diperlukan supaya penjenayah alam sekitar ini dapat ditangkap dan didakwa sehingga disabitkan kesalahan di mahkamah,” katanya menerusi hantara di Facebook beliau.

Amirudin berkata, pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang turut dirangka kerajaan negeri bagi meminimumkan kesan pencemaran sungai Selangor sehingga menjejaskan jutaan pengguna.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 9 November lalu, meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta.

Belanjawan Selangor 2021 menyediakan peruntukan khas bagi menangani isu pencemaran termasuk meluaskan penggunaan teknologi antaranya dron.

Mengikut belanjawan itu, Skuad Pantas akan membuat pemantauan 24 jam di lokasi sumber air, manakala bilangan stesen telemetri kualiti air sebagai sistem amaran awal di hulu muka sauk ditambah.

Pengepaman air mentah dari kolam takungan Sistem Hibdrid Peningkatan Air Pinggir Sungai (Horas) dibuat jika berlaku gangguan bekalan.

Usaha tersebut diyakini mampu mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti tugas di loji rawatan air, seterusnya mengelakkan gangguan bekalan kepada pengguna. – MalaysiaGazette