Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan diminta untuk melihat semula kemampuan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) memenuhi mandatnya untuk memulihkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, syarikat yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dilihat seolah-olah telah kecundang dalam usaha menyelamatkan TH.

Tegasnya, jika perlu penstrukturan semula dilakukan bagi meningkatkan kecekapan UJSB dalam mengendalikan aset TH, ia mesti segera dilaksanakan.

Tambahan pula, Ketua Pegawai Eksekutif UJSB turut meletakkan jawatan pada pertengahan tahun ini yang sekali gus menggoyahkan lagi kepercayaan orang ramai terhadap kemampuan syarikat berkenaan.

Mohamad juga meminta anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan itu supaya telus dalam segala keputusan pelaburan dan perniagaan berkaitan harta TH dan dana kerajaan.

“Semenjak mengambil alih aset TH, UJSB telah menjual saham-saham aset TH dengan tujuan melabur dalam saham yang lebih berpotensi.

“Oleh kerana penjualan saham tersebut dilakukan ketika pasaran lemah, strategi UJSB ini akan sukar untuk mengembalikan nilai pulangan terbaik kepada TH.

“Ini bermakna, kedudukan kewangan TH dijangka tidak akan mengukuh untuk tahun ini.

“Persoalan sekarang ialah, wajarkah kita terus memberikan kepercayaan kepada syarikat ini untuk menyelamatkan TH,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dua hari lepas, Timbalan Menteri Kewangan II mendedahkan UJSB mengalami kerugian sebanyak RM9.95 bilion bagi tempoh kewangan 14 Disember 2018 sehingga 31 Disember 2019.

Mengikut rancangan asalnya, UJSB perlu membeli aset lemah TH dengan mandat untuk meningkatkan nilai aset tersebut selama 10 tahun.

Setakat sekarang, UJSB harus membayar sebanyak RM27.56 bilion kepada TH bagi baki tempoh sembilan tahun.- MalaysiaGazette